suria

Nicol, Azlan Mara Ke Separuh Akhir

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David membuktikan statusnya selaku pemain No.1 dunia apabila menewaskan Kasey Brown dari Australia, 11-5, 11-4, 6-11, 11-5 pada Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur CIMB 2011 di sini, Jumaat, dengan mempamerkan persembahan bertenaga untuk melangkah ke separuh akhir.

Menurut Nicol, beliau amat gembira kerana memenangi pertemuan itu dan mengakui Brown bermain dengan begitu baik.

"Brown melakukan beberapa pukulan tangkas dan bekerja keras dengan bangkit di set ketiga. Dia kelihatan cuba menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang. Kami mempamerkan permainan menarik hari ini (Jumaat) ," katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan.

Kemenangan itu sekali lagi mempertemukan Nicol dengan lawan sama di separuh akhir tahun lalu, Alison Waters dari England yang mematikan langkah pemain Australia, Rachael Grinham di suku akhir pada Jumaat.

Waters menewaskan Grinham yang merupakan juara 2001, 12-10, 12-10, 8-11, 5-11, 13-11.

Juara dunia lima kali itu mencetuskan panik seketika apabila menerima rawatan di tepi gelanggang kerana mengalami luka kecil akibat terjatuh ketika beraksi di set ketiga. Begitupun, Nicol bangkit untuk mengungguli permainan dengan memenangi set keempat.

Berbeza dengan perlawanan pusingan pertama pada Khamis, jaguh skuasy negara, Mohd Azlan Iskandar terpaksa bekerja keras untuk mematahkan penguasaan pemain Pakistan Aamir Atlas Khan ke separuh akhir pada Sabtu.

Pada pusingan separuh akhir, Jumaat, Azlan mencatatkan kemenangan 14-12, 11-6, 11-2 ke atas lawan yang pernah menundukkannya di final acara skuasy berpasukan lelaki Sukan Asia, Guangzhou, China tahun lalu.

Persembahan atlet kelahiran Sarawak itu di set pertama tampak perlahan sebelum dia kembali menemui semula rentak permainan untuk mengungguli perlawanan tersebut.

Begitupun, permainan di set pertama terpaksa diberhentikan seketika selepas Aamir mengalami kecederaan ringan di pergelangan tangannya tetapi dia dilaporkan boleh terus beraksi.

"Perlawanan tadi begitu sengit. Aamir beraksi pada tahap tertinggi. Perkara itu juga dapat dilihat dalam diri Farhan Mehboob pada Khamis," katanya.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Mohamed El Shorbagy di separuh akhir pada Sabtu, Azlan tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi sebaliknya mengharapkan keputusan lebih baik berbanding kejohanan sama tahun lalu.

"Selepas prestasi turun naik tahun lalu, saya kini dalam proses memperbaiki kelemahan diri dan semakin bersemangat untuk perlawanan esok (Sabtu). Saya berharap agar latihan keras saya sebelum kejohanan ini membuahkan hasil," jelasnya.

Sementara itu, Mohd Nafiizwan Adnan gagal mengikut jejak rakan senegara apabila tewas kepada pemain pilihan kedua kejohanan, Mohamed El Shorbagy dari Mesir, 11-9, 12-10, 11-7.

Bermula perlahan di set pertama, pemain kelahiran Terengganu itu cuba bangkit di seterusnya tetapi gagal menyekat kemaraan lawan yang menduduki ranking kesembilan dunia.

"Saya sentiasa bermula agak perlahan dan itu masalah utama saya. Mental yang lemah turut menjejaskan rentak permainan saya sehingga set ketiga selain melakukan beberapa kesilapan mudah," katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan.

Memandangkan jurang rankingnya dengan Shorbagy terlalu jauh, Nafiizwan tidak menganggap ia sebagai masalah malah mengakui mereka bermain dengan seimbang.

"Walaupun kecewa dengan keputusan hari ini (Jumaat), saya berpuas hati dengan corak permainan yang mula menampakkan peningkatan berbanding perlawanan terdahulu," ujarnya.

Artikel Sebelum

West Ham, Spurs Seri 0-0

Artikel Berikut

Artikel Lain