suria

Wan Jamak Letak Jawatan Sebagai Jurulatih Negeri Sembilan

SEREMBAN: Wan Jamak Wan Hassan telah meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan Negeri Sembilan kerana berasa bertanggungjawab atas prestasi hambar pasukan itu dalam Liga Super dan Piala FA musim ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Seri Mohamad Hassan berkata Wan Jamak telah menemuinya pagi tadi dan mengemukakan surat peletakan jawatannya.

"Sebagai seorang profesional, Wan Jamak mahu bertanggungjawab atas prestasi yang kurang memuaskan pasukan Negeri Sembilan dan mohon supaya dia dibenarkan meletakkan jawatan," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Mohamad, yang juga Menteri Besar, berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan tiket dan sagu hati khas kepada pelajar Negeri Sembilan di Mesir di sini.

Katanya walaupun berat untuk melepaskan Wan Jamak memandangkan jasanya sebelum ini, namun beliau tetap menghormati pendirian jurulatih itu.

Katanya Wan Jamak telah melakukan pelbagai usaha untuk memulihkan prestasi pasukan tapi tidak berhasil.

Katanya berikutan tindakan jurulatih itu, PBNS telah mengadakan mesyuarat tergempar ahli majlis dan menerima keputusan Wan Jamak untuk meletakkan jawatan.

Selain itu, Mohamad berkata pengurus pasukan Datuk Abd Halim Abd Latif juga mahu melepaskan jawatan atas alasan sama tetapi diminta menangguhkan hasratnya sehingga PBNS menyelesaikan perkara itu. Justeru itu, Mohamad berkata PBNS akan meneliti calon yang sesuai untuk menggantikan Wan Jamak sebelum membuat keputusan muktamad.

"Kita berharap akan dapat memilih jurulatih yang terbaik dari yang sedia ada. Yang penting kita mahu melihat supaya pasukan Negeri Sembilan kembali mantap," katanya.

Pasukan Negeri Sembilan terkeluar daripada saingan suku akhir Piala FA dan kini menduduki tangga kesembilan dalam Liga Super dengan mencatatkan tiga kemenangan daripada tujuh perlawanan.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain