suria

Penangguhan Aksi Harimau Muda A Diketahui 30 Mac

PETALING JAYA: Perlawanan aksi Liga Super yang melibatkan Harimau Muda A yang sebelum ini dijadual pada 14, 17 dan 21 Jun akan dipinda kepada tarikh yang bakal diumum oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam mesyuarat jawatankuasa pertandingan tempatan (JKPT) 30 Mac ini.

Perlawanan yang akan dipinda itu masing-masing membabitkan pertemuan Harimau Muda A dengan Terengganu, Sabah dan Pahang di Stadium Shah Alam, Selangor.

Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin memberitahu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat JKPT FAM ke-7 di Wisma FAM di sini hari ini, pindaan tersebut perlu dilakukan memandangkan beberapa pemain Harimau Muda A terlibat dalam perlawanan antarabangsa bersama skuad kebangsaan.

Sebelum ini jurulatih skuad Olimpik yang juga jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee meminta FAM memberi pengecualian kepada anak buahnya dengan menangguh perlawanan Liga Super mereka bagi memberi tumpuan kepada latihan pusat yang dijangka akan diadakan di luar negara untuk menghadapi pusingan kedua kelayakan Olimpik 2012 yang akan berlangsung pada 19 dan 23 Jun ini.

Lawan Malaysia pada pusingan kedua akan ditentukan kelak melalui undian pada 30 Mac ini di Rumah Persekutuan Bolasepak Asia (AFC), Bukit Jalil.

Dalam perkembangan lain, Hamidin berkata perlawanan akhir Piala FA pada 11 Jun dijangka akan berlangsung di Stadium Shah Alam.

"Bagaimanapun, ia terpulang kepada keadaan kondisi padang di stadium tersebut kerana kita baru sahaja menggantikan dengan menanam rumput baru.

"Sekiranya keadaan tidak memuaskan, barulah perlawanan akhir tersebut akan diputuskan bermain stadium di salah satu tempat lawan," katanya.

Ditanya mengapa Stadium Bukit Jalil tidak dipilih, beliau berkata stadium tersebut sedang dalam proses pengubahsuaian padang trek.

"Saya difahamkan proses tersebut dijangka akan siap dalam penghujung bulan Julai maka tidak sempatlah untuk kita mengadakan perlawanan akhir di Bukit Jalil," katanya.

Hamidin juga memaklumkan Stadium Darul Makmur di Pahang akan ditutup penggunaannya bermula 1 April ini untuk proses pengubahsuaian menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2012 di mana Pahang terpilih sebagai tuan rumah.

"Mana-mana perlawanan membabitkan Stadium Darul Makmur akan diubah bermain di tempat lawan iaitu pasukan Pahang akan menjadi tuan rumah dan membiayai segala kos perlawanan di tempat lawan," katanya.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain