Azraai Letak Syarat Untuk Kembali

Diterbitkan: Khamis, 17 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Mohd Azraai Khor Abdullah sedia kembali untuk membimbing skuad bola sepak Kedah jika menerima tawaran dan pihak Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) juga bersedia menerima beberapa syarat daripadanya.

Azraai meninggalkan skuad Hijau Kuning pada 2009 dan kemudian dilantik sebagai jurulatih skuad bawah 21 tahun negara Harimau Muda A.

"Saya amat bangga dengan sokongan padu yang ditunjukkan penyokong setia Hijau Kuning yang mahu saya kembali semula membimbing Kedah, melalui laman sosial Facebook dan media.

"Bagaimanapun saya tidak menerima apa-apa surat dan panggilan daripada pihak KFA untuk menggunakan khidmat saya semula bagi membimbing pasukan Kedah.

"Saya akan tunggu dan lihat perkembagan semasa KFA," katanya.

Kedah telah merehatkan jurulatih Ahmad Yusof dan melantik penolong jurulatih Radhi Mat Din sebagai pemangku jurulatih bagi satu tempoh yang akan ditentukan kelak.

Langkah itu dibuat oleh KFA, ekoran para peminat Kedah melahirkan rasa kecewa dengan prestasi pasukan mereka yang tersingkir daripada saingan awal Piala FA.

Azraai berkata sekiranya ada tawaran daripada KFA beliau akan melakukan perbincangan lebih terperinci dan mahu beberapa syarat yang dimintanya dipenuhi agar peristiwa 2009 tidak berulang lagi.

"Saya akan kenakan syarat-syarat tertentu kepada mereka (KFA) sebelum menerima sebarang tawaran. Lebih elok jika saya dan pihak KFA capai kata sepakat barulah saya boleh terima," katanya.

Azraai menjadi jurulatih yang popular di kalangan penyokong setia Kedah berikutan prestasi cemerlang beliau membimbing skuad Kedah hingga mencapai kejuaraan Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA bagi dua musim berturut-turut iaitu pada 2007 dan 2008.

Beliau yang menamatkan kontrak dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) 9 Mac lalu turut menerima tawaran sebagai jurulatih daripada Persatuan Bolasepak Perlis dan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan.

"Saya masih menimbang tawaran terbaik daripada kedua-dua pihak dan keputusannya akan diketahui minggu hadapan.

"Paling mustahak saya mahukan pengurusan yang berwibawa, berwawasan dan bercita-cita tinggi untuk menjulang nama pasukan mereka dan sekaligus merangkul kejuaran dalam Liga Malaysia," kata Azraai.-BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Kolumnis

iklan

Iklan