suria

Nicol Mahu Kekal Momentum Terbaik

KUALA LUMPUR: Selepas dinobatkan selaku Olahragawati Kebangsaan 2010, ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David mahu mengekalkan momentum terbaik pada Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur CIMB yang membuka tirainya pada Selasa.

Meskipun berjaya merampas kembali gelaran juara daripada pemain England, Natalie Grainer pada edisi lalu, tumpuan Nicol kini lebih tertumpu kepada saingan pusingan pertama undian utama yang akan berlangsung pada Khamis dalam usaha mempertahankan kejuaraannya.

"Saya mahu memulakan perlawanan pada Khamis dengan keyakinan tinggi. Saya percaya lawan kelak pastinya akan memberi tentangan sengit. Jadi, fokus kini lebih tertumpu untuk melepasi setiap pusingan dengan cemerlang," kata anak jati Pulau Mutiara itu ketika ditemui pemberita selepas sidang media penajaan kejohanan itu di sini, Rabu.

Selepas kecundang kepada Laura Massaro dari England pada final Kejohanan Cleveland WISPA Classic 2011, bulan lalu, Nicol berkata semangatnya semakin membara untuk memulakan kempen tahun ini dengan kejayaan pertama berbekalkan latihan keras di Amsterdam.

"Saya belajar daripada kegagalan dalam kejohanan pertama untuk tahun ini. Saya kembali ke Amsterdam dan berlatih dengan lebih keras dengan memberi fokus terhadap aspek berbeza dalam corak permainan saya," jelasnya.

Kali ini, kejohanan yang memasuki edisi ke-13 itu menjanjikan persembahan bertaraf dunia apabila bakal menyaksikan pemain No.3 dunia lelaki, Karim Darwish dari Mesir beraksi meneruskan kecemerlangan untuk mengukuhkan kedudukan dalam ranking dunia.

Dalam kategori wanita, Nicol turut menerima persaingan sengit daripada pencabar utamanya, Jenny Duncalf (England) dan pemain Australia, Rachael Grinham.

Pemain ranking kelapan dunia, Massaro yang berusaha untuk mengulangi kejayaan selepas menewaskan Nicol bulan lalu, akan bertemu Kasey Brown pada pusingan pertama undian utama, Khamis.

Sementara itu, jaguh skuasy negara, Mohd Azlan Iskandar yang baru saja mengisi kelompok 10 pemain terbaik dunia berazam meletakkan komitmen 100 peratus untuk memenangi setiap kejohanan bagi mengekalkan kedudukannya.

"Angka 10 sentiasa menjadi buruan saya selama ini. Namun, ia hanya angka saja dan saya perlu menang sepanjang tahun untuk terus menduduki kelompok 10 teratas," ujar pemain kelahiran Sarawak itu.

Diundi bertemu Farhan Mehboob dari Pakistan pada pusingan pertama, Khamis, Azlan berkata dia sudah bersedia dari segi fizikal dan mental walaupun yakin lawan akan memberikan tekanan.

"Saya percaya Farhan adalah lawan licik tetapi saya bersedia sepenuhnya untuk menyekat kemaraan lawan. Perlawanan akan menjadi sengit tetapi saya mahu memenangi pertemuan itu," tambahnya.

Kejohanan itu menawarkan wang tunai keseluruhan AS$53,500 (RM163,477) bagi kategori wanita dan AS$50,000 (RM152,786) dalam kategori lelaki.

Artikel Berikut

Artikel Lain