suria

Jangkaan 4 Emas Pada Sukan Olimpik 2012

KUALA LUMPUR: Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yakin skuad Road To London mampu menyumbangkan empat pingat emas berdasarkan aksi semasa atlet-atlet negara yang bakal beraksi pada Sukan Olimpik 2012.

Ahmad Shabery berkata, pihaknya memang menyasarkan satu pingat emas yang diharapkan oleh jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, tetapi apabila melihatkan pencapaian dan rekod semasa dalam tujuh acara temasya sukan berprestij itu, skuad negara mampu meraih lebih daripada satu emas.

"Saya tidak menyasarkan empat pingat emas, tetapi senarai ini berada dalam jangkaan kita. Misi emas sememangnya diharapkan kepada Chong Wei kerana kita percaya kerana dia bukan sahaja pemain nombor satu dunia, malah dia juga boleh dikatakan sebagai pemain terbaik dunia, lebih-lebih lagi selepas berjaya menundukkan seteru utamanya dari China, Lin Dan pada akhir Seluruh England awal pagi Isnin.

"Acara beregu badminton juga berada dalam jangkaan emas dengan gandingan Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong yang mempunyai harapan cerah untuk meraih emas biarpun mereka ini kalah pada saingan akhir Seluruh England.

"Namun berdasarkan pencapaian dan persembahan mereka sebelum ini saya yakin mereka boleh memberi aksi yang lebih baik lagi pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Majlis Sukan Negara (MSN) Dan 100 Plus.

Sementara itu juga, Ahmad Shabery yang turut menlancarkan Detik 500 Hari Program Road To London berkata, dua lagi emas yang berada dalam senarai jangkaan adalah melalui acara berbasikal yang pastinya jaguh keirin negara, Mohd Azizulhasni Awang menjadi perhatian.

"Pencapaian Azizul tidak boleh dipertikaikan lagi. Dia adalah prospek kejayaan negara dalam sukan lumba basikal kerana telah banyak mencipta nama dengan mengalahkan ramai jaguh dunia yang lain.

"Dan satu lagi adalah Pandelela Rinong yang kini merupakan jaguh terjun yang disegani. Dia telah mengharumkan nama negara dengan meraih pingat perak pada Sukan Remaja Olimpik sebelum ini dan kini berada di belakang jaguh dunia dari China dan turut meraih pingat pada Sukan Asia tahun lalu.

"Secara jelasnya, kami reaslistik dalam memberi sasaran emas, tetapi dalam beberapa acara, saya yakin peluang untuk meraih emas itu ada.

"Kita tidak mahu pergi ke Olimpik sekadar menghantar penyertaan tetapi kita ada sasaran tersendiri.

"Tetapi apa yang penting ialah kita perlu melakukan persiapan rapi dari segi mental dan fizikal," katanya.

Antara tujuh acara dalam Program Road To London ialah acara badminton,memanah, menembak, hoki, bola sepak,terjun dan acara trek berbasikal.

Pada majlis itu juga menyaksikan MSN menandatangani perjanjian dengan pihak F&N Baverage Marketing Sdn Bhd sebagai rakan tajaan dengan jumlah tajaan sebanyak RM4 juta bagi menjalani pelbagai aktiviti dan promosi sepanjang program Road To London ini.

Ahmad Shabery berkata, penajaan ini membuktikan kebijaksanaa pihak F&N dalam mempromosikan jenama mereka melalui atlet dan sukan negara.

"Saya boleh katakan syarikat ini adalah yang paling bijak kerana mengambil peluang memperluaskan jenama mereka dan ini merupakan gelombang baru kepada sukan negara biarpun kerjasama antara MSN telah lama terjalin," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain