suria

Skuad Jalan Kaki Dan Jurulatih Dilapor Selamat Di Jepun

KUALA LUMPUR: Skuad jalan kaki negara, yang tiba di Jepun, Jumaat untuk menyertai Kejohanan Jalan Kaki Asia 20 Kilometer Walk, Nomi City, Jepun dilaporkan selamat.

Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) Karim Ibrahim berkata skuad empat anggota serta tiga jurulatih itu berada jauh dari kawasan yang dilanda gempa bumi dan tsunami.

"Mereka semua selamat dan saya difahamkan pertandingan jalan kaki itu akan berjalan seperti biasa esok (Ahad)," katanya.

Beliau berkata atlet jalan kaki iaitu Norliana Mohd Rusni, T. Dhiban Raj, Lo Choon Siang, Teoh Boon Lim serta tiga jurulatih iaitu V. Subramaniam, R. Mohan dan Abdul Aziz Abd Manaff berada di sebuah hotel di Komatsu, Jepun ketika kejadian gempa berlaku.

Sementara itu, Subramaniam ketika dihubungi Bernama berkata kejadian gempa itu berlaku jauh dari tempat mereka menginap dan tiada gegaran dirasai.

"Kami semua selamat dan pertandingan yang akan berlangsung esok akan berjalan seperti biasa," katanya.

Kawasan gempa itu berlaku lebih 700 kilometer dari tempat rombongan skuad jalan kaki menginap.

Gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter menggegarkan Jepun tengah hari Jumaat dan menyebabkan wilayah timur laut negara itu dilanda tsunami setinggi 10 meter. Setakat ini, sekurang-kurangnya 1,000 orang dilaporkan maut akibat bencana alam itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain