suria

Gender Bukan Penghalang Ceburi Sukan Permotoran

ALOR SETAR: Kemahiran aksi lasak bermotosikal kini bukan sahaja dipelopori oleh kaum lelaki malah ia mampu ditandingi sama hebat oleh golongan wanita seperti dibuktikan oleh seorang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM).

Ilia Iryani Shuib, 25, membuktikan bahawa gender bukan menjadi penghalang untuk terlibat dalam sukan itu.

Bermula hanya sekadar suka-suka, kini aksi lasak bermotosikal sudah menjadi hobinya sejak dua tahun lalu.

"Pada mulanya saya hanya mencari tajaan untuk sebuah program sukan bermotosikal di USM pada 2008 dan apabila syarikat RK-M sudi menaja program itu, saya cuba melakukan aksi lasak dengan bantuan kakitangan syarikat tersebut," katanya ketika ditemui pemberita di Karnival Kedah Sejahtera, di sini, Sabtu.

Beliau berkata dia cuba melakukan aksi-aksi lasak itu kerana mahu memberi sokongan kepada program itu dan melalui program itu dia mula berjinak dalam sukan permotoran.

"Mereka (pihak RK-M) nampak bakat yang saya ada dan mereka menawarkan untuk melatih saya menjadi profesional dan bermula dari situ saya menjalani latihan di kilang RK-M di Prai, Pulau Pinang, seminggu sekali," kata pelajar tahun akhir jurusan biologi di universiti berkenaan.

Ilia Iryani berkata beliau masih belum pernah menyertai mana-mana kejohanan sukan motosikal tetapi dia sentiasa mengikuti RK-M mengadakan persembahan lasak jika diminta.

Beliau berkata enam bulan pertama penglibatannya, dia terpaksa merahsiakan hal itu daripada keluarga kerana bimbang mereka tidak boleh menerima minatnya itu.

"Bagaimanapun, keluarga mula mengetahui pembabitan saya dalam sukan permotoran ketika membuat pertunjukan di GP Motor Racing di Sepang pada 2008 dan pihak RK-M menemui keluarga dan menerangkan aktiviti saya," katanya.

Ilia Iryani berkata apabila tamat pengajiannya, beliau akan mencari pekerjaan dalam bidang pengajiannya tetapi tidak akan meninggalkan sukan permotoran.

"Impian saya adalah untuk membuat persembahan motorcross dan memiliki motosikal tersebut. Saya juga mahu memartabatkan sukan ini dan ingin menarik lebih ramai kaum wanita menyertainya sehingga peringkat antarabangsa," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain