suria

Chong Wei Hampiri Kejuaraan, Mara Ke Separuh Akhir

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan badminton negara Datuk Lee Chong Wei semakin hampir dalam melaksanakan misi mempertahankan kejuaraan apabila mara ke pusingan separuh akhir perseorangan lelaki Kejohanan All-England yang diadakan di Birmingham, England awal pagi Sabtu (waktu Malaysia).

Perseorangan nombor satu dunia itu mudah menewaskan Boonsak Ponsana dari Thailand 21-15, 21-7 dalam masa 30 minit.

Menanti Chong Wei di gelangggang separuh akhir ialah pemain China, Chen Long yang menewaskan Peter Hoeg Gade dari Denmark 21-9, 22-20.

Satu lagi perlawanan separuh akhir melibatkan perseorangan nombor tiga dunia Lin Dan dari China, yang akan menentang pemain bukan pilihan Marc Wiebler dari Jerman.

Dalam acara beregu lelaki, pilihan kelima kejohanan Koo Kien Keat/Tan Boon Heong turut melangkah ke separuh akhir setelah berjaya menundukkan beregu Indonesia Markis Kido/Hendra Setiawan 21-19, 23-25, 21-11.

Pasangan beregu negara itu akan berentap dengan Cai Yun/Fu Haifeng dari China dalam perlawanan separuh akhir yang diadakan awal pagi Ahad.

Sementara itu, beregu negara Mohd Zakry Abdul Latif/Hoon Thien How gagal mengikut langkah Koo dan Tan setelah tumpas pada beregu Denmark Mathias Boge/Carsten Mogensen 21-19, 21-18, meskipun memberi saingan sengit sepanjang perlawanan. - BERNAMA

Artikel Lain