ABL Lancar Program Latihan Amali/Pertukaran (Internship) Hari Ini

Diterbitkan: Jumaat, 11 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MANILA: Liga Bola Keranjang AirAsia ASEAN (ABL) pada Jumaat, melancarkan program latihan amali (internship) untuk memperkembangkan bakat muda-mudi dari rantau Asia Tenggara, dalam bidang sukan dan pendidikan.

Program tersebut memberi peluang kepada para penuntut dari universiti-universiti dari ASEAN yang mempunyai usahasama dengan ABL untuk mendapatkan peluang menjalani latihan amali dalam pengendalian liga bola keranjang dan korporat.

Ini secara tidak langsung menyediakan mereka untuk menceburi pasaran kerja kelak.

Ketua Pegawai Eksekutif ABL, Kuhan Foo berkata, menerusi program amali AirAsia ABL, pihaknya ingin membuktikan bahawa gabungan sukan, muzik dan pendidikan dapat memperkembangkan potensi serta bakat muda-mudi dari ASEAN.

"Kami berbangga kerana AirAsia menyokong usaha ini. Para pelajar yang menjalani latihan amali ini dapat menyelami suasana bekerja di platform serantau.

"Ini sekali gus menyiapkan diri mereka menceburi pasaran kerja kelak," katanya pada majlis pelancaran program latihan amali Liga Bola Keranjang AirAsia ASEAN di restoran Gerry's Grill, Ali's Mall di sini, Jumaat.

Menurut Kuhan, program amali ABL ini juga membantu penuntut pertama latihan amali ini, Editha Botecario, 24, mencapai cita-cita menjadi pengadil rasmi Persekutuan Bola Keranjang Antarabangsa (FIBA).

"Editha akan menduduki peperiksaan pada Mei ini untuk melayakkannya dilantik sebagai pengadil bertauliah FIBA," katanya.

Tambah beliau, sekurang-kurangnya 10 penuntut universiti dari negara ini dan ASEAN dipilih untuk menyertai program tersebut setiap tahun.

Sementara itu, pemilik pasukan AirAsia Philippine Patriots, Dr Mikee Romero memberitahu, bidang sukan membuka banyak peluang kerjaya kepada mereka yang menceburinya.

Bagaimanapun katanya, sukan sering dilepas pandang atau dipinggirkan kerana kurangnya kesedaran terhadap potensi sukan.

"Menerusi ABL, kami berharap latihan amali ini membuka lebih banyak peluang kerja selain memperkembangkan sukan di rantau ini," katanya.

Program latihan amali itu berlangsung selama dua bulan dan pelajar terbabit akan menjalani latihan bersama ABL dan pasukan lain yang bertanding dalam liga.

Pada masa hadapan, pelajar yang menjalani latihan usaha tersebut akan ditempatkan di pejabat AirAsia di rantau ini selain pejabat korporat penaja-penaja liga.

Penuntut tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Kesihatan Fizikal (Physical Wellness), Editha Botecario dari Universiti Makati di sini merupakan pelajar pertama yang berjaya menjalani program latihan amali itu.

Program tersebut memberikan pemahaman mendalam bekerja dalam liga profesional bola keranjang.

Sepanjang tempoh latihan amalinya di pejabat ABL di Kuala Lumpur dari 24 Januari hingga 6 Mac lalu, Editha membantu pasukan teknikal dalam kerja perancangan dan penjadualan perlawanan.

Dia turut belajar mengenai pemasaran sukan dari aspek penajaan dan penjenamaan.

"Sebelum perlawanan, saya belajar bagaimana untuk membuat rakaman media sosial," katanya yang turut mendapat latihan di jabatan media sosial dan televisyen.

Walaupun tempoh latihan amali telah berakhir, Editha memainkan peranan sebagai penyelaras para peminat bola keranjang dari Filipina.

Editha yang mewakili universitinya dalam olahraga dan bola keranjang merupakan pengadil wanita bola keranjang yang kedua di Filipina. Dia pernah mengadili beberapa perlawanan Liga Bola Keranjang Wanita di Filipina.

Selain itu, dia ialah jurulatih kepada pasukan Kelab White Dragons dan San Miguel Hawks, pasukan bola keranjang bawah 10 tahun.

"Saya menggalakkan sesiapa yang berminat untuk memohonnya kerana ia mendatangkan banyak manfaat," kata Editha.

Program latihan amali ini terbuka kepada para penuntut universiti tanpa mengambil kira bidang pengajian mereka.

Pemohon boleh terdiri daripada mereka yang membuat pengkhususan dalam bidang pengajian perniagaan, komunikasi dan kejuruteraan.

Pemohon perlu mendapatkan sokongan (recommendation) daripada universiti masing-masing.

Mereka juga akan ditemuramah sebelum dipilih menyertai program tersebut.

Mereka yang berminat boleh emel permohonan kepada Kuhan di kuhan@aseanbasketballleague.com.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan