suria

Mehdi Menang Jersi Kuning

KOTA TINGGI: Pelumba Iran, Mehdi Sohrabi dari pasukan Tabriz Petrochemical, memenangi Jersi Kuning dalam perlumbaan Peringkat Satu Jelajah Malaysia 2011 dari Kota Iskandar ke Bandar Penawar di sini, Selasa.

Pelumba berusia 30 tahun itu mencatat masa tiga jam, 39 minit dan 34 saat untuk melepasi garisan penamat, hanya 0.02 di hadapan pelumba Estonia, Mart Ojavee, dari pasukan Champion.

Seorang lagi pelumba Malaysia Mohd Hariff Salleh, yang mewakili Terengganu Pro-Asia Cycling Team, menduduki tempat ketiga dengan catatan masa 3'39:38s.

Dengan kemenangan itu, Mehdi juga meraih Jersi Biru sebagai pelumba terbaik Asia.

"Saya tak fikir akan berupaya memenangi dan mengekalkan Jersi Kuning dalam perlumbaan selepas ini," kata Mehdi, yang berjaya meninggalkan kumpulan pesaingnya bersama enam penunggang lain 60km sebelum garisan penamat.

Pelumba itu berkata rakan sepasukannya dari Rusia, Boris Shpilevsky, mampu meraih kemenangan pada peringkat berikutnya.

Shpilevsky meraih kemenangan pertamanya pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 dengan mengungguli Peringkat 9 dari Melaka ke Nilai.

Selepas Peringkat 1, Tabriz Petrochemical menjadi pendahulu keseluruhan JM2011 dan klasifikasi pasukan Asia dengan catatan masa 10'58:50s.

Sementara itu, Mohd Hariff berkata dia tidak menyangka akan meraih Jersi Biru bagi kategori pecut kerana menjangka rakan sepasukannya, Anuar Manan, yang akan memenanginya.

"Saya terjatuh pada zon pecutan pertama di Pulai Perdana dan menjangka ia akan menjejaskan peluang saya. Saya meneruskan perlumbaan, tapi Anuar kurang bernasib baik kerana tertinggal terlalu jauh," katanya.

Selain memenangi Jersi Hijau, Mohd Hariff juga meraih Jersi Putih yang dikhaskan bagi pelumba terbaik Malaysia.

Bagi perburuan Jersi Merah pula, pelumba Jerman, Daniel Westmahelmann, dari Team Eddy Merckk - Indeland, mendahului peserta lain dengan empat mata, diikuti Mark John Lexer Galedo dari 7 Eleven Racing Team by Roadbike Philippines, dengan mata yang sama.

Penunggang Aisan Racing Team, Yasuharu Nakajima, menduduki tempat ketiga, dengan dua mata.

Esok, para pelumba akan menghadapi laluan kedua terpanjang dalam kejohanan ini iaitu dari Bandar Penawar ke Kluang, sejauh 204.4km.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain