GP Malaysia Tampil Kelainan

Diterbitkan: Rabu, 9 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perlumbaan Grand Prix Formula Satu Petronas Malaysia (GP Malaysia) edisi ke-13 dijangka akan memberi kelainan tersendiri selepas tiga pasukan Malaysia disahkan akan turut bersaing pada perlumbaan pusingan kedua, 8 hingga 10 April di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Seperti tahun-tahun sebelum ini, kemunculan GP Malaysia sememangnya dinanti-nantikan oleh seluruh peminat sukan pemotoran tanah air kerana inilah peluang terbaik untuk melihat dengan lebih dekat lagi perlumba-pelumba bertaraf dunia beraksi.

Pengerusi SIC, Datuk Mokhzani Tun Dr Mahathir berkata, F1 tahun ini dianggap berbeza dengan tahun sebelumnya kerana ia bakal memaparkan strategi baru dalam segi penganjuran.

"Seperti sedia maklum tahun ini pihak penganjur menggunakan strategi berbeza dengan mengadakan promosi penuh selama sebulan sebelum menjelang perlumbaan berbanding sebelum ini yang mengadakan promosi bermula bulan Januari.

"Dan hari ini dengan rasminya genap sebulan tarikh perlumbaan akan berlangsung," katanya pada sidang media pelancaran F1 Malaysia, Selasa.

Sementara itu, Mokhzani berkata, tahun ini juga amat istimewa kerana bakal menyaksikan tiga pasukan Malaysia akan bersaing dengan pelumba-pelumba handalan dunia yang lain.

"Selain Mercedes GP Petronas, kita juga bakal menyaksikan pasukan Lotus Renault dan pasukan 1Malaysia Lotus. Saya percaya, dengan pertambahan pasukan Malaysia ini, sambutan peminat-peminat sukan pemotoran akan lebih meningkat daripada tahun sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali berkata, sehingga kini sambutan tiket menggalakkan selepas mengadakan promosi jualan tiket bermula November lalu.

"Selepas 13 tahun, kita telah berjaya menampilkan tiga pasukan Malaysia dan yakin penjualan tiket akan terus meningkat.

"Selain itu juga, promosi tiket sehingga 30 peratus yang telah diadakan sebelum ini telah memberi impak yang baik dengan catatan lebih kurang 35 peratus telah dijual.

"Saya percaya selepas pelancaran rasmi ini, jualan tiket akan terus meningkat berdasarkan aktiviti-aktiviti yang akan diadakan sepanjang tiga hari perlumbaan diadakan.

"Manakala sasaran keseluruhan penjualan tiket selama tiga hari tahun ini adalah seratus ribu," katanya.

Malaysia bakal menjadi tuan rumah pada pusingan kedua perlumbaan F1 selepas Grand Prix Melbourne pada 25 hingga 27 Mac ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan