suria

Skuad Bola Sepak Bawah 15 FAM Dijemput Berlatih Di Slovakia

PETALING JAYA: Skuad bawah 15 tahun kebangsaan dijemput untuk menimba pengalaman dengan mengadakan latihan di Slovakia tahun depan, kata Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Beliau berkata, undangan kepada FAM itu merupakan penghargaan ke atas kejayaan skuad kebangsaan menjulang Piala AFF-Suzuki baru-baru ini.

"FAM melihat perkara ini sebagai satu peluang terbaik untuk pemain muda mendapat pendedahan di luar negara. Kita harap penyertaan itu akan memberi hasil yang baik suatu hari nanti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal FAM di sini, Selasa.

Sebelum ini, FAM pernah menghantar skuad bawah 21 tahun beraksi di Liga Slovakia pada Februari hingga Mei tahun lepas untuk mempelajari dan mendapatkan sebanyak mungkin pengetahuan serta pengalaman bermain di liga peringkat tinggi negara itu.

Tengku Abdullah berkata, mesyuarat hari ini turut membincangkan mengenai kedudukan jurulatih dalam skuad kebangsaan.

Beliau berkata FAM memutuskan untuk memberi peluang kepada jurulatih skuad Olimpik Ong Kim Swee membimbing skuad bawah 23 tahun kebangsaan untuk menghadapi Sukan SEA di Indonesia pada November depan.

"Kita bukan hanya memberi peluang kepada Ong sebaliknya beliau perlu membuktikan kemampuannya dalam membimbing skuad bawah 23 tahun kebangsaan untuk kekal sebagai juara pada sukan SEA Indonesia," katanya.

Menurutnya, ketua jurulatih kebangsaan, K.Rajagobal akan diberikan tanggungjawab yang lebih besar untuk membimbing skuad negara mempertahankan kejuaran Piala AFF-Suzuki dan menjulang Piala Asia 2011.

Tengku Abdullah berkata, beliau turut mencadangkan supaya jawatankuasa baru ditubuhkan bagi menguruskan pencarian bakat-bakat baru dalam sukan bola sepak di seluruh negara.

"Kalau boleh kita ingin mencontohi Jepun yang mempunyai lebih daripada 200,000 pemain muda yang bakal menjadi pelapis kepada pemain lama," katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan bertindak untuk memilih bakat-bakat baru seawal usia sembilan tahun dari peringkat akar umbi.

"Bagi menjayakan program ini, FAM berharap sekolah-sekolah akan memperbanyakan lagi kejohanan bola sepak agar dapat melahirkan lebih ramai pemain muda yang benar-benar berbakat," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain