suria

Skuad Pelayaran Negara Sertai Vietnam Sailing Festival 2011

LANGKAWI: Lapan pelayar dipilih menggalas cabaran Malaysia pada kejohanan Vietnam Sailing Festival 2011 mulai 17 hingga 20 Mac ini.

Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) Mohd Afendy Abdullah berkata mereka ialah gandingan Ku Anas Ku Zamil/Ahmad Hakimi, Mohd Latif Khan/Mohd Hafizudin Mazelan, Khairunesa Mohd Afendy/Nor Afikah Mohd Latif dan Nur Liyana Abdul Latif/Norashikin Mohd Sayed.

"Kesemua pelayar itu akan menyertai kategori International 470," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Mohd Afendy berkata kejohanan itu sebagai menguji kemampuan pelayar negara dalam persiapan menghadapi Sukan SEA di Jakarta, Indonesia pada November.

"Kita mahu memberi pendedahan kepada pelayar untuk memantapkan persiapan mereka," katanya.

Katanya ini adalah penyertaan kedua di luar negara tahun ini selepas Kejohanan Qatar International Regatta 2011 Sail The Gulf edisi ke-19 yang berlangsung di Doha Sailing Club, Ras Abu Aboud, Doha, Qatar bulan lepas.

Malaysia mengutip dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa pada kejohanan itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain