suria

Gol Safee Beri Kemenangan Kepada Pelita Jaya FC

KARAWANG (JAWA BARAT): Gol tunggal jaringan Mohd Safee Mohd Sali dalam perlawanan sulungnya mewakili pasukan Pelita Jaya FC menjadi hadiah pertamanya dan sekaligus menentukan kemenangan pasukannya 1-0 ke atas Sriwijaya FC dalam Liga Super Indonesia, Sabtu.

Peluang keemasan pada minit ke-62 itu yang berupa bola muntahan di depan pintu gawang, telah disambar oleh Safee dengan rembatan melepasi jangkauan penjaga gol Sriwijaya Fery Rotin Sulu.

Serentak bola mencecah jaring gawang, seluruh isi Stadium Singaperbangsa, Karawang menjadi gegak gempita dengan sorakan para penyokong Pelita Jaya berdiri merayakan gol sulung Safee.

"Mas Safee! Demikian bunyi teriakan para penyokong pasukan Pelita Jaya FC diikuti dengan sorakan Safee!, Safee!, sepanjang beliau bermain sehingga beliau digantikan dengan pemain lain pada minit ke-84.

Safee menjadi bintang dalam perlawanan yang begitu pantas dan menghiburkan di depan lebih 6,000 penonton, selain muncul sebagai penjaring gol tunggal dan pemain terbaik.

Mengenakan jersi merah bernombor 55, Safee yang lincah di bahagian serangan sering dihalang pemain pertahanan Sriwijaya pada perlawanan yang diadakan petang tadi.

Gol hari ini merupakan gol peribadi beliau yang ke-110 sejak mula bermain dengan pasukan Kuala Lumpur pada 2003.

"Saya bersyukur dapat menjaringkan gol ini dan memberi tiga mata kepada Pelita Jaya. Tiga mata ini amat bermakna kepada pasukan dalam pusingan kedua ini.

"Saya juga gembira kerana dapat memberikan sesuatu kepada para penyokong pasukan hari ini," kata Safee ketika ditemui selepas perlawanan.

Safee berkata pada awal permainan di separuh masa pertama, beliau masih menyesuaikan diri dengan keadaan padang dan di babak kedua beliau menukar corak permainan dengan lebih banyak bergerak.

Penyerang pasukan kebangsaan Malaysia itu turut berasa lega dengan pencapaiannya hari ini dan ia akan menjadi bekalan untuk bermain dengan lebih yakin dalam perlawanan kedua bertemu Persib Bandung di tempat sama pada 12 Mac ini.

Mengenai nombor 55 yang digunakannya, Safee berkata beliau sendiri yang memilih nombor itu kerana nombor 10, nombor jersinya dalam pasukan kebangsaan Malaysia, telah digunakan pemain lain dalam pasukan itu Andesi Probowo.

"Bagi saya nombor 55 ini juga memberi erti 10 iaitu lima dicampur lima jadi 10 dan ia juga serupa dengan huruf SS iaitu singkatan kepada Safee Sali," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain