suria

Prestasi Hambar T'Team Hanya Sementara

KUALA TERENGGANU: Prestasi hambar pasukan T'Team dalam saingan Liga Super ketika ini disifatkan hanya sementara sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri yang juga pengurus pasukan T'Team Rozi Mamat berkata salah satu sebab prestasi pasukan itu hambar kerana keserasian pemain belum wujud.

"Untuk mendapatkan keserasian bukan perkara yang mudah dan saya yakin pasukan T'Team akan bangkit," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Rozi berkata berkata demikian ketika diminta mengulas prestasi hambar pasukan T'Team walaupun pasukan itu dibarisi ramai pemain bertaraf bintang seperti Indra Putra Mahayuddin dan Norfarhan Mohamad.

Setelah mengharungi enam perlawanan setakat ini, T'Team cuma menduduki tangga ke-13 carta liga dengan empat mata.

Rozi berkata beliau tidak menafikan terdapat beberapa kelemahan dalam pasukan itu dan kelemahan itu akan diatasi dari semasa ke semasa.

Apapun, beliau yakin T'Team akan memberi saingan dan mampu melangkah lebih jauh dalam kejohanan itu musim ini. - BERNAMA

Artikel Lain