suria

Fokus Pada Pusingan Awal Dulu: Beng Hee

Beng Hee yakin saingan pada Terbuka Skuasy CIMB KL 2011 sangat sengit. Foto: The Star/AZHAR MAHFOF.
Beng Hee yakin saingan pada Terbuka Skuasy CIMB KL 2011 sangat sengit. Foto: The Star/AZHAR MAHFOF.
Beng Hee yakin saingan pada Terbuka Skuasy CIMB KL 2011 sangat sengit. Foto: The Star/AZHAR MAHFOF.

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy nombor dua negara, Ong Beng Hee menyifatkan persaingan sengit pada Kejuaraan Terbuka Skuasy CIMB Kuala Lumpur yang bakal membuka tirainya pada 15 Mac ini di Pusat Skuasy National, Bukit Jalil.

Beng Hee yang kini di ranking ke-22 dunia berkata, sasaran utamanya adalah untuk menumpukan saingan pada pusingan awal terlebih dahulu sebelum melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

“Undian menyaksikan ramai pemain-pemain terbaik dunia akan turut beraksi di sini dan saya pasti perlawanan pastinya sengit. Apa yang saya akan lakukan ialah memberi fokus kepada saingan awal terlebih dahulu dan memastikan keputusan yang baik.

"Ia sangat penting sekiranya ingin meneruskan aksi hingga ke peringkat akhir,” katanya kepada media selepas majlis penajaan lokasi di Berjaya Times Square pada Rabu.

Selain Beng Hee, turut beraksi ialah bekas juara Terbuka KL, Mohd Azlan Iskandar (ke-13 dunia), pemain muda negara, Mohd Nafiizwan Adnan yang layak secara wildcard, Mohd Asyraf (ke-60 dunia), Kamran Khan (ke-80 dunia), Ivan Yuen, Choong Kam Hing, Elvin Keo dan Valentino Bong.

Menurut Beng Hee, penampilan pemain-pemain muda pada kejohanan ini adalah satu langkah terbaik bagi dari segi pendedahan dan mereka adalah pemain muda yang berbakat besar.

“Kami akan cuba memberi seratus peratus komitmen jika ingin layak ke perlawanan akhir biarpun sedar halangan sukar menanti kami,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Skuasy Raket Malaysia (SRAM), Datuk Syed Mustaffa Syed Ali berjaya, pihaknya amat gembira dan teruja selepas Berjaya Times Square bakal menjadi lokasi perlawanan suku akhir kejohanan terbesar di Malaysia ini.

“Ini merupakan kali keenam Berjaya Times Square menjadi lokasi penting kejohanan ini dan ia merupakan lokasi yang strategik untuk menarik lebih ramai peminat-peminat sukan skuasy tanah air memandangkan ramai pemain terbaik dunia akan turut beraksi,” katanya.

Selain itu, Pengarah Eksekutif Berjaya Corporation Berhad, Datuk Azlan Meah berkata, pihaknya berbangga kerana dapat meneruskan kerjasama bersama SRAM.

“Berjaya Times Square menyambut baik kedatangan semua pemain dan pihak penganjur ke kejohanan yang akan diadakan nanti. "Secara peribadi saya sungguh kagum dengan semangat jitu persatuan atas usaha mereka yang tidak berbelah bagi dalam menaikkan taraf sukan skuasy di mata dunia,” katanya.

Antara pemain terbaik lelaki dunia yang turut beraksi ialah dua pemain dari Mesir, Karim Darwish yang kini menduduki ranking ketiga dunia dan juara remaja dunia dua kali, Mohamed El Shorbagy.

Manakala bagi kategori wanita pula pastinya ratu skuasy negara yang juga pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol Ann David akan menjadi perhatian, selain Jenny Duncalf serta Alison Walters, kedua-duanya dari England.

Seorang lagi pemain England yang bakal mencuri tumpuan ialah Laura Massaro yang telah menewaskan Nicol kejohanan Cleveland Racquet Classic 2011 baru-baru ini.

Pemain-pemain Malaysia yang lain termasuk, Low Wee Wern, Delia Arnold, dan Siti Munirah Jusoh.

Artikel Sebelum

Artikel Lain