suria

30 Pasukan Sertai Edisi Ke-47 Jelajah Malaysia

KUALA LUMPUR: Perlumbaan jelajah berbasikal tertua di negara ini, Jelajah Malaysia berjaya menarik penyertaan 30 pasukan, kata ketua pegawai operasi Jelajah Malaysia 2011 Datuk Naim Mohamed.

Perlumbaan edisi ke-47 dengan tema 'Jelajah 1Malaysia-Jelajah Rakyat' itu sekali gus menyaksikan jumlah penyertaan tertinggi sejak ia diperkenalkan pada tahun 1963.

"Kami (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia) telah memuktamadkan sebanyak 30 pasukan yang akan mengambil bahagian pada kali ini.

"Senarai penuh pasukan dan pelumba yang akan mengambil bahagian pada perlumbaan kali ini akan diumum esok. Apa yang saya boleh katakan daripada 30 pasukan yang akan mengambil bahagian itu, 12 daripadanya adalah pasukan benua (continental) dan tidak ada pasukan profesional benua," katanya.

Menyentuh mengenai penglibatan media dalam perlumbaan kali ini, Naim berkata setakat ini seramai 25 petugas media tempatan akan membuat liputan sepanjang perlumbaan itu.

"Selain daripada 25 petugas media tempatan, kami juga menerima permohonan daripada petugas media dari Filipina, Thailand, Singapura, Indonesia dan Hong Kong," katanya.

Perlumbaan JM 2011 di bawah penaungnya, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan dianjur oleh PKBM itu akan melalui enam peringkat perlumbaan bermula di Kota Iskandar, Johor, pada 8 Mac ini dan berakhir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan, pada 13 Mac.

JM2011 yang mendapat pengiktirafan status 2.2 oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) akan melibatkan jarak perlumbaan sejauh 1,011km.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain