suria

Hujan Lebat Ubah Rentak Kayuhan Adiq

PELUMBA pasukan Drapac Professional Cycling (DPC) Mohd Adiq Husainie Othman mengakui keadaan hujan sepanjang perlumbaan peringkat kelapan Le Tour de Langkawi (LTdL) dari Kuala Pilah-Jasin menghalang rentak kayuhannya, Ahad.

Perlumbaan sejauh 156.5 kilometer (km) sememangnya memberi cabaran sengit kepada 123 pelumba kerana ia bukan sahaja merupakan jarak paling jauh dalam kalendar LTdL tahun ini, tetapi kayuhan lebih mencabar kerana keadaan hujan di sepanjang perlumbaan berlangsung.

Pelumba kelahiran Terengganu ini berkata, kayuhan peringkat kelapan ini sangat berbeza dengan perlumbaan sebelum ini kerana hujan lebat dan jalan beralun.

"Walaupun hujan turun sejak perlumbaan dimulakan, kayuhan semua pelumba tetap laju. Saya akui sedikit penat kerana ada satu masa hujan agak lebat dan terpaksa mengejar pelumba-pelumba lain.

"Pun begitu,saya berjaya mengutip dua mata pada zon pendakian kedua di Palong (101m). Sekurang-kurangnya ia mampu membantu kedudukan keseluruhan pasukan saya," katanya kepada media selepas tamat perlumbaan.

Adiq yang bakal menyambut kelahiran ke-20 pada April ini berkata, keadaan hujan yang lebat ini tidak menyekat rakan sepasukannya untuk melakukan pemecahan pada 30km terakhir namun ditangkap oleh kelompok yang lain.

"Seorang lagi rakan saya turut melakukan pemecahan pada 10km terakhir, namun 100m sebelum mencecah ke garisan penamat dia dapat ditangkap oleh kumpulan lain seteruskan mendahului pasukan saya.

"Bagi perlumbaan Isnin, saya dapat rasakan cuaca mungkin seperti hari ini dan saya harap dapat melakukan kayuhan yang lebih baik. Saya juga akan cuba mengutip mata dan melakukan pemecahan," katanya yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-99.

Secara keseluruhan sepanjang lapan peringkat perlumbaan Adiq kini berjaya mengumpul lapan mata keseluruhan di zon pendakian selepas mengutip dua mata di Langkawi, empat mata pada peringkat ketujuh dan dua mata dari Kuala Pilah ke Jasin.

Perlumbaan peringkat sembilan akan bermula di Melaka ke Nilai dengan jarak sejauh 151.7km.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anuar Tekad Untuk Bangkit

Artikel Lain