suria

Litar Motocross Di Terengganu Siap Jun

SETIU: Kerajaan negeri Terengganu akan membina sebuah litar morocross dalam usaha menangani gejala rempit di negeri ini, yang boleh dikatakan agak kritikal terutama pada hujung minggu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Rozi Mamat berkata litar yang dijangka siap Jun itu akan memberi peluang kepada anak muda yang berminat dengan sukan pemotoran menjalankan aktiviti mereka tanpa membahayakan pengguna jalan raya.

"Kita nak halang tak boleh sebab itu minat mereka, jadi kerajaan negeri mengambil inisiatif menyediakan tempat bagi mengelak mereka melakukan aktiviti itu di jalan raya," katanya kepada Bernama, di sini.

Gejala rempit di negeri ini masih berterusan walaupun pihak berkuasa sentiasa mengadakan operasi termasuk sekatan jalan raya di laluan yang sering digunakan. Rozi berkata kerajaan negeri juga merancang mengadakan acara lumba motosikal secara 'halal' kepada kumpulan yang gemar merempit itu.

"Dengan adanya litar motocross itu nanti, kita bercadang mengadakan aktiviti perlumbaan di peringkat daerah, negeri dan antarabangsa secara berterusan untuk memberi peluang mereka mengasah bakat dan biar mereka ada hala tuju, bukan hanya berani beraksi di jalanan seperti sekarang ini," katanya.

Beliau berkata perbincangan berhubung pembinaan litar berkenaan masih dijalankan dan beberapa lokasi dicadangkan termasuk di Lembah Bidong, di sini.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain