suria

Anuar Tekad Untuk Bangkit

TAMPIN: Pakar pecut negara, Anuar Manan berazam untuk mempamerkan kayuhan 'ala kamikazi' pada saingan peringkat kelapan LTdL 2011 dari Kuala Pilah ke Jasin Ahad, selepas gagal mempertahankan Jersi Biru (Raja Pecut) pada perlumbaan peringkat ketujuh, Sabtu.

Anuar, 24, terpaksa menyerahkan semula Jersi Biru kepada pencabar terdekat, Andrea Guardini dari pasukan Farnese Vini-Neri Sotttoli pada perlumbaan dari Banting ke Tampin sejauh 149.5 kilometer (km).

Raja Pecut LTdL 2010 yang mewakili pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) ini, sehingga kini masih gagal mencapai sasarannya untuk menjadi juara peringkat selepas menamatkan saingan di tempat ke-24, Sabtu.

Lebih malang, pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu juga gagal mengutip sebarang mata pada tiga zon pecutan di Sungai Pelek, Port Dickson dan Chembong.

"Saya berasa sangat penat pada perlumbaan hari ini. Berlumba di laluan landai dan beralun sepanjang laluan itu menyebabkan saya kehilangan banyak tenaga terutamanya apabila cuba mengejar kelompok pelumba yang membuat pemecahan.

"Saya juga berasa sedikit kecewa apabila gagal menambah kutipan mata, sekali gus mempertahankan Jersi Biru ini, namun masih ada tiga peringkat untuk dilalui dan jurang mata juga tidak besar.

"Untuk perlumbaan seterusnya, saya akan berkayuh bermati-matian dan mengharapkan kerjasama yang baik daripada rakan-rakan sepasukan dalam usaha memenangi peringkat serta merampas semula Jersi Biru daripada Guardini," katanya.

Anuar berkata, dia dan rakan sepasukan perlu lebih berhati-hati untuk menghadapi perlumbaan peringkat kelapan dari laluan dari Kuala Pilah ke Jasin dijangka lebih mencabar.

Selain perlu berdepan laluan landai yang beralun, peringkat perlumbaan itu juga adalah yang paling jauh dalam kalendar LTdL 2011 iaitu sejauh 156.7 km.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain