suria

Kejohanan Menembak Asia Di Qatar Jadi Penentu Ke Sukan Olimpik London 2012

KUALA LUMPUR: Kejohanan Menembak Asia di Qatar awal tahun depan akan dijadikan medan utama bagi untuk penembak Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) mencari tiket kelayakan akhir ke Sukan Olimpik London 2012.

Setiausaha Eksekutif NSAM, Mejar Jasni Shaari berkata saingan untuk memperolehi kelayakan menerusi slot itu adalah lebih mudah berbanding dengan cabaran kejohanan Menembak Piala Dunia (ISSF) yang akan bermula di Sydney, Australia Mac ini.

"Kami harap dapat hantar paling kurang dua atau tiga penembak untuk beraksi di Olimpik London nanti," katanya ketika dihubungi Bernama, pada Jumaat.

Beliau berkata harapan itu disandarkan ke bahu lima penembaknya yang baru dipilih menyertai program 'Road To London 2012' yang terdiri daripada Mohd Hasli Izwan, Mohd Hafiz Adha, Nur Ayuni Abdul Halim, Nursuriyani Mohd Taibi dan Bibiana Ng.

Beliau berkata sukan menembak baru sahaja diserapkan dalam program 'Road To London 2012' dan misi persatuan kini adalah memastikan bahawa penembak kebangsaan bersedia untuk menghadapi cabaran.

"Sepanjang tahun ini kelima-lima penembak itu akan menyertai empat siri kejohanan Menembak Piala Dunia (ISSF) bermula di Sydney, Australia pada bulan Mac, Changwon, Korea Selatan (April), Fort Benning, Amerika Syarikat (Mei) dan Munich, Jerman (Jun)," katanya.

Jasni berkata beliau akur bahawa cabaran yang bakal dihadapi oleh penembak itu ketika beraksi di kejohanan dunia nanti namun tetap berharap mereka mampu mencapai sesuatu disana nanti.

Sebagai rekod, Malaysia pernah menghantar seorang penembak negara, Mohd Hasli beraksi dalam acara 25 meter rapid fire pistol di Sukan Olimpik Beijing, China pada 2008 namun beliau gagal memperolehi sebarang pingat dari kejohanan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain