suria

Skuad Pendaki Perlu Lebih Pendedahan: Amrun

GENTING HIGHLANDS: Selepas tamat zon pendakian kedua perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011, skuad Malaysia masih belum menemui rentak kayuhan, malah turut gagal menempatkan diri dalam kelompok 30 terbaik keseluruhan, Khamis.

Situasi ini diakui sendiri oleh pengurus pasukan Amrun Misnoh bahawa aspek pendakian perlu diberi perhatian yang khusus kerana ia akan melibatkan kedudukan pelumba bagi individu terbaik keseluruhan dan juga pasukan keseluruhan.

Menurutnya, sejak LTdL ini bermula pada tahun 1996, pelumba yang mewakili pasukan Malaysia masih dibayangi kehebatan pelumba luar negara dan ini bermakna pelumba pendaki yang sedia ada perlu menonjolkan diri selepas ini.

Pada perlumbaan peringkat kelima hari ini menyaksikan pelumba Malaysia, Amir Mustafa Rusli menduduki tempat ke-55, diikuti Mohamad Rauf Nur Misbah ke-69, Loh Sea Keong (72), Mohd Nur Rizuan Zainal (74), Suhardi Hassan (81) dan Ahmad Fakrullah Alias (85) daripada 123 pelumba.

"Pendakian adalah amat mustahak, terutama sekali di pendakian berstatus Hors, selepas ini kami akan memberi penumpuan untuk memantapkan kebolehan empat pelumba pendaki, Amir Rauf, Rizuan dan Sea Keong," katanya ketika ditemui media selepas tamat perlumbaan.

Jelasnya, jika mempunyai pendaki yang baik, tidak mustahil Malaysia mampu memberi saingan kepada pelumba luar.

"Apa yang saya nampak pendedahan berlumba di luar negara adalah amat penting untuk memberi mereka pendedahan dan memperbaiki teknik kayuhan, mereka tidak boleh hanya beraksi di dalam negara sahaja.

"Saya lihat pada edisi kali ini Amir dan Rauf menunjukkan peningkatan, begitu juga dengan Sea Keong, kalau digilap lagi bakat mereka tidak mustahil pelumba ini mampu memberi saingan di perlumbaan LTdL pada masa akan datang," katanya.

Buat julung kalinya, edisi ke-16 LTdL tahun ini menyediakan dua peringkat pendakian iaitu pada peringkat keempat (Ayer Tawar-Cameron Highlands) dan peringkat kelima (Tapah-Genting Hinghlands).

Artikel Berikut

Ayabe Tawan Cameron Highlands

Artikel Lain