suria

Mohd Zan Ketua Jurulatih Baru Pos Malaysia FC

KUALA LUMPUR: Lonjak empat tangga ke atas - itulah sekurang-kurangnya tugas yang harus dipikul oleh Mohd Zan Mat Aris, ketua jurulatih baru skuad Pos Malaysia FC pada musim bola sepak Liga Perdana tahun ini.

"Kita berharap pemilihan beliau mampu membawa Pos Malaysia FC ini menjadi antara empat pasukan terbaik dalam Liga Perdana," kata pengurus pasukan Shaari Shazali.

Musim lalu, pasukan yang dikenali sebagai 'posmen' itu menduduki tangga kelapan.

Shaari berkata Mohd Zan dilihat mampu menaikkan prestasi pasukan itu berdasarkan pencapaian yang ditunjukkan jurulatih itu yang sebelum ini melatih kelab dari saingan Liga Super, KL Plus FC.

"Selain itu, kami juga berusaha berdiri setanding dengan 14 pasukan terbaik dalam Liga Super," katanya kepada pemberita selepas melancarkan jersi baru Pos Malaysia FC 2011 dan pengenalan ketua jurulatih baru di Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur di sini, Khamis.

Sebelum ini tugas selaku jurulatih Pos Malaysia FC dikendalikan oleh Allan Lim yang telah tamat kontrak pada pertengahan tahun lepas.

Mohd Zan, bekas pemain kebangsaan di posisi pertahanan pada tahun 1980-an, pernah meraih pingat emas Sukan Sea ke-15 di Kuala Lumpur pada 1989.

"Kita (pasukan) telah mengadakan latihan intensif sejak Oktober 2010 dengan mengadakan perlawanan persahabatan dengan beberapa kelab dan pasukan negeri. Persembahan mereka bagus dan diharapkan mereka dapat mengekalkan prestasi pada perlawanan pertama Liga Perdana pada Isnin depan," katanya.- BERNAMA

Artikel Berikut

Ayabe Tawan Cameron Highlands

Artikel Lain