suria

KOAM Minta MSN Buat Keputusan Segera

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) meminta Majlis Sukan Negara (MSN) supaya segera membuat keputusan rasmi sama ada mahu membenarkan atau tidak atlet olahraga negara membuat latihan di Ranau, Sabah.

Timbalan Presiden KOAM, Karim Ibrahim berkata pihaknya perlu mendapat surat rasmi mengenaicadangan tersebut bagi memudahkan pihaknya mengubah perancangan berhubung program pembangunan dan persediaan atlet olahraga negara bagi menghadapi cabaran Sukan SEA di Palembang pada hujung tahun ini.

"Sehingga kini seramai 41 atlet dan 14 jurulatih telah bersetuju untuk menerima tawaran KOAM untuk memulakan latihan di Kompleks Sukan Ranau," katanya kepada Bernama, Selasa.

Beliau berharap Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong dapat bertindak dengan segara bagi menimbangkan hasrat tersebut demi kepentingan atlet olahraga negara.

Karim berkata Presiden KOAM Datuk Seri Shahidan Kassim telah memaklumkan kepada beliau bahawa Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Belia Dan Sukan Datuk Mohid Mohamed telah bersetuju secara dasarnya mengenai program latihan di Ranau dalam satu perjumpaan degan KOAM baru-baru ini.

"Jika KSU sendiri telah bersetuju mengenai perkara tersebut, saya fikir adalah wajar bagi Zolkples untuk segera meluluskan cadangan berkenaan," katanya.

MSN sebelum ini menolak cadangan KOAM berhubung program latihan atlet yang dikatakan bakal menelan kos RM3 juta di Ranau.

Tempat latihan yang dikemukakan oleh badan induk sukan olahraga itu dikatakan tidak sesuai dan melibatkan kos yang tinggi sedangkan Kompleks Sukan Bukit Jalil di sini mempunyai kemudahan dan peralatan yang cukup bagi keperluan latihan atlet negara.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Cabaran Pendakian Adiq Bermula

Artikel Lain