suria

LTdL 2011: Kittel Juara Peringkat Ketiga

SITIAWAN: Pelumba dari pasukan Skil Shimano Cycling Team (SKS), Marcel Kittel dinobatkan sebagai juara peringkat ketiga pada perlumbaa Le Tour de Langkawi (LTdL) dari Taiping ke Sitiawan, Selasa.

Perlumbaan sejauh 144.9 kilometer ini menyaksikan Kittel merampas takhta yang dipegang Andrea Guardini (Farnese Vini-Neri Sotttoli) dua peringkat berturut-turut sebelum ini. Bagaimana pun kemenangan ini belum mampu menggugat kedudukan Guardini selaku juara keseluruhan (Jersi Kuning).

"Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan pasukan yang telah membantu membawa saya hingga berada dalam posisi terbaik.

"Saya yakin pasukan saya berada dalam keadaan terbaik kerana kami mempunyai dua orang pendaki dan dua orang pelumba pecut iaitu saya dan Kenny van Hummel. Hari ini Kenny memberitahu untuk membantu saya keluar dari kelompok dan di situ saya mempunyai kelebihan melakukan pecutan bersamanya, manakala Koen de Kort berada di depan saya.

"Dalam pasukan ini, kami tidak mahu fokus kepada seorang sahaja kerana saya yakin kami adalah pasukan yang kuat," katanya kepada media selepas perlumbaan.

Sementara itu, mengekori rapat hingga ke garisan penamat adalah pelumba negara dari pasukan Terengganu Cycling (TSG), Anaur Manan yang berada di kedudukan kedua, manakala Guardini di tangga ketiga.

"Walaupun tidak menang peringkat ketiga hari ini, namun saya sangat berpuas hati dan pasukan saya telah menjalankan tugas dengan baik. Tidak dinafikan perlumbaan ini agar sukar berbanding sebelum ini, tetapi apa yang penting Jersi Kuning (Terbaik Keseluruhan) dan Jersi Biru (Raja Pecut) masih menjadi milik saya.

"Selepas ini saya akan cuba mempertahankan Jersi Biru kerana agak mustahil untuk untuk mengekalkan Jersi Kuning memandangkan esok (Selasa) sudah bermula perlumbaan pendakian. Jadi, saya hanya akan mengikuti perlumbaan sahaja," katanya.

Selain itu, jaguh pecut negara yang menyarung Jersi Putih (Terbaik Asia) Anuar sedikit kecewa kerana nyaris menjadi pemenang peringkat ini kerana pecutannya hampir melintasi Kittel.

"Agak kecewa kerana sasaran tidak kesampaian tetapi tetap berpuas hati dengan kejayaan hari ini. Rakan-rakan ada membantu saya, namun mungkin sedikit terlambat ketika melakukan pecutan di garisan penamat.

"Perlumbaan peringkat keempat dan kelima agak berbeza kerana melibatkan pendakian, dan apa yang pasti saya akan cuba lagi selepas dua peringkat ini," katanya yang turut mengekalkan Jersi Putih.

Dengan kemenangan di tempat kedua ini, Anuar telah menerima insentif sebanyak RM1,000 daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTdL, Mohamed Salleh kerana telah menunjukkan kayuhan konsisten sepanjang tiga hari perlumbaan ini berlangsung.

Secara keseluruhan, Anuar kini mengumpul 51 mata bersama Guardini.

Pada peringkat kedua dari Kangar-Butterworth Anaur berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga.

Selain itu, gelaran Raja Bukit (Jersi Merah) masih menjadi milik Koen de Kort (SKS) walaupun hari ini dia gagal mengutip sebarang mata di Zon Bukit (KOM-Bukit Gantang) dan kini mengumpul 6 mata bersama pelumba Tabriz Petrochemichal Team (TPT) Mehdi Sohrabi.

Perlumbaan edisi ke-16 anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) ini akan meneruskan perlumbaan peringkat keempat dari Ayer Tawar-Cameron Highlands dengan jarak 137.6km.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Adiq Bermula Positif

Artikel Lain