Tembok Besar China Sukar Digugat

Diterbitkan: Isnin, 24 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ternyata dominasi pemain China di pentas antarabangsa masih sukar digugat. Ia berjaya dibuktikan apabila empat kategori kecuali perseorangan lelaki diungguli negara tembok besar itu.

China memulakan penguasaan pada Siri Super Terbuka Malaysia Proton 2011 di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini apabila dua pasangan negara itu bertemu sesama sendiri dalam acara beregu campuran.

Meskipun dipertemukan dengan rakan senegara di final, dua pasangan itu tidak menghampakan penyokong yang hadir apabila mempamerkan persembahan bertenaga di selang-selikan dengan skil menakjubkan.

Gandingan mantap He Hanbin-Ma Jin yang menundukkan Tao Jiaming-Tian Qing 21-13, 13-21, 21-16 memberi hadiah kemenangan pertama untuk China dalam pertarungan sengit selama 63 minit.

Kejayaan kedua diteruskan pasangan beregu pilihan kelima, Chai Biao-Gua Zhendong yang berjaya mematikan langkah Mads Conrads-Petersen-Jonas Rasmussen 21-16, 21-14 untuk menjuarai saingan final beregu lelaki di sini, petang Ahad.

Gegak-gempita teriakan penyokong yang hadir memberi sokongan kepada Conrads-Rasmussen tidak sedikitpun menjejaskan fokus pasangan dari China itu untuk meraih kemenangan kedua selepas kejohanan Terbuka Hong Kong tahun lalu.

Malah, mereka bijak mencuri mata menerusi beberapa kesilapan di jaring yang dilakukan pasangan Denmark itu terutamanya pada set kedua.

Bersesuaian dengan status selaku pemain pilihan kedua, Wang Shixian hanya mengambil masa selama 39 minit untuk menundukkan rakan senegara, Wang Yihan 21-18, 21-14 dalam acara perseorangan wanita.

Wang Yihan yang menundukkan juara Terbuka Malaysia tahun lalu, Wang Xin 21-18, 21-18 di separuh akhir gagal mengulangi pretasi terbaiknya ketika bertemu pemain berusia 21 tahun itu.

Dalam acara beregu wanita, pasangan pilihan kelapan kejohanan, Tian Qing-Zhao Yunlei berjaya meranapkan impian rakan senegara, wang Xiaoli-Yu Yang 21-12, 6-21, 21-17 untuk mengungguli kejuaraan Siri Super pertama tahun ini.

Sementara itu, satu-satunya sandaran utama negara, Datuk Lee Chong Wei berjaya mengekalkan kejuaraan buat kali ketujuh selepas menjinakkan lawan sama di Terbuka Hong Kong 2010, Taufik Hidayat 21-8, 21-17 dalam perlawanan yang memukau selama 37 minit.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan