suria

LTdl 2011: Anuar Raih Pelumba Terbaik Asia

BUTTERWORTH: Jaguh pecut negara, Anuar Manan mula menunjukkan taringnya selepas berjaya menyarung Jersi Putih bagi kategori Terbaik Asia pada perlumbaan peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 dari Kangar-Butterworth, Isnin.

Biarpun hanya menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga pada perlumbaan ini, Anuar berjaya mengetepikan penyandang Jersi Putih peringkat pertama sebelum ini, Park Sungbaek dari pasukan Kebangsaan Korea (Kor).

"Kejayaan menyarung Jersi Putih hari ini adalah bonus bagi saya kerana sasaran awal saya hari ini adalah untuk menyarung Jersi Biru (Raja Pecut). Pun begitu saya tetap gembira kerana sekurang-kurangnya ia mengubat kekecewaan pada perlumbaan Ahad," katanya kepada media.

Anuar berkata, perlumbaan hari ini agak sengit berbanding sebelum ini kerana terdapat beberapa kemalangan berlaku yang sedikit mengganggu kayuhannya.

"Saya bersyukur kerana tidak terlibat dengan kemalangan dan membuatkan saya lebih berhati-hati sekali gus menyebabkan saya kehilangan banyak tenaga kerana perlumbaan tidak begitu lancar.

"Pada dua kilometer terakhir, saya cuba untuk berada dalam kelompok hadapan tetapi saya hilang tenaga ketika menuju ke garisan penamat sehingga gagal memintas pelumba yang berada di depan saya.

“Ketika itu, saya terpaksa berusaha sendiri kerana tidak ada bantuan daripada rakan-rakan sepasukan yang lain. Saya tersangkut dengan pelumba-pelumba lawan dan hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

“Apa pun, saya tetap gembira dengan keputusan ini. Saya akan cuba lagi untuk memperbaiki prestasi saya pada perlumbaan seterusnya,” katanya.

Menurut Anuar, dia akan cuba mengutip mata pada perlumbaan peringkat ketiga di zon pecutan pada perlumbaan seterusnya.

“Inilah peluang bagi saya untuk mengutip seberapa banyak mata dalam zon pecutan selepas saya hanya mampu mengutip tiga mata di zon pertama pada perlumbaan hari ini.

“Saya harap strategi yang diaturkan berjalan lancar sebelum kami berhadapan tugas berat pada peringkat keempat dan kelima nanti," katanya.

Perlumbaan hari ini menyaksikan dua kemalangan berlaku pada tiga kilometer terakhir dan satu kilometer sebelum ke garisan penamat melibatkan pelumba Park Sungbaek (Kor) dan Yukiya Arashiro (Europcar) yang mengalami kecederaan di muka dan kaki.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Adiq Bermula Positif

Artikel Lain