suria

Kelantan Ke Piala Sumbangsih Tanpa Sathianathan

PETALING JAYA: Kelantan kehilangan khidmat B. Sathianathan bagi menghadapi Selangor pada perlawanan Piala Sumbangsih Sabtu ini selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menolak rayuan penggantungan selama enam bulan terhadap jurulatih itu.

Jawatankuasa Rayuan FAM, dalam mesyuaratnya di sini hari ini, telah mengekalkan hukuman itu selepas mendapati Sathianathan bersalah melemparkan kritikan terhadap FAM mengenai jadual perlawanan musim lepas.

Penolong Setiausaha FAM, Ahmad Fuad Daud, berkata hukuman itu akan berkuatkuasa hari ini sehingga 23 Julai ini.

"Hukuman itu sepatutnya bermula tahun lepas namum kami menunda tarikh mendengar permohonan rayuan itu bagi membolehkan jurulatih itu membimbing pasukan Kelantan menghadapi perlawanan akhir Piala Malaysia pada Oktober lalu," katanya.

Ahmad Fuad berkata pasukan Kelantan, selaku juara Piala Malaysia 2010, perlu mencari jurulatih sementara bagi membolehkan pasukan tersebut membuat pendaftaran untuk perlawanan Piala Sumbangsih itu.

"Pasukan yang bertanding tidak boleh meletakkan nama jurulatih atau pemain yang dikenakan tindakan displin oleh FAM ketika membuat pendaftaran pasukan."

Apabila ditanya adakan pembantu jurulatih pasukan Kelantan, Hashim Mustapha boleh dilantik sebagai jurulatih sementara, katanya Hashim tidak layak kerana hanya jurulatih yang mempunyai lesen kejurulatih kelas A sahaja boleh berbuat demikian.

Pasukan Kelantan yang merupakan juara bagi Piala Malaysia edisi 2010 dijadulkan bertemu dengan pasukan Selangor yang merupakan penyandang juara Liga Super 2010 di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Sementara itu, Sathianathan ketika dihubungi, berrkata beliau akan berbincang dengan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa esok.

"Biar Annuar mengumumkan keputusan mengenai status saya," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Adiq Bermula Positif

Artikel Lain