suria

KAFA Minta Media Bantu Bangunkan Sukan Bola Sepak Di Kelantan

KOTA BAHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) meminta media massa di negeri itu membantu persatuan itu untuk membangunkan sukan bola sepak demi masa depan sukan itu agar terus cemerlang.

Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa berkata tanpa media, sukar bagi persatuan itu untuk berbuat demikian berikutan kekangan semasa dan tanpa bantuan sewajarnya oleh kerajaan Kelantan.

"Kalau kita berseorangan sudah tentu tidak mampu bagi Kafa membangunkan sukan bola sepak dan sebab itu betapa perlunya media membantu kami untuk berbuat demikian.

"Media jangan hanya menumpukan kepada Liga Super semata-mata tetapi berilah perhatiaan terhadap permasalahan sukan itu di Kelantan terutama mencari seberapa ramai pelapis baru," katanya kepada pemberita pada majlis makan malam media bersama Kafa di sini, malam Ahad.

Annuar juga mengakui tanpa media pasukan Kelantan tidak mungkin berada pada kedudukan sekarang yang telah berjaya menaikkan semangat pemain sehingga muncul menjadi juara Piala Malaysia musim lalu.

Annuar berkata Kafa sedang berusaha mencari seberapa ramai pemain bukan Melayu untuk dicungkil bakat mereka yang boleh mewakili Kelantan pada musim-musim akan datang.

"Saya sedang berbincang untuk mengadakan pertandingan untuk mencari bakat baru berbangsa Cina dan masyarakat Siam di Kelantan bagi menjadikan pasukan kita sebagai pasukan 1Malaysia pada masa akan datang," katanya.

Beliau melahirkan rasa kecewa dengan sikap kerajaan Kelantan dan Perbadanan Stadium Kelantan yang masih belum berusaha menaik taraf Stadium Sultan Muhammed Ke-IV sedangkan musim baru Liga Malaysia hampir bermula.

"Saya sedih lihat fasiliti untuk tempat duduk media di stadium itu sangat daif dan saya berharap sangat selain fasiliti media, tempat-tempat yang lain di stadium itu dinaik taraf segera," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Adiq Bermula Positif

Artikel Lain