suria

Chong Wei Semakin Hampir Buru Kejuaraan Ketujuh

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei selangkah untuk bergelar juara Siri Super Terbuka Malaysia Proton 2011 selepas menang mudah ke atas pemain muda China, Chen Long pada pusingan separuh akhir di Stadium Putra Bukit Jalil di sini petang, Sabtu.

Pemain yang memburu gelaran Terbuka Malaysia buat kali ketujuh itu kelihatan beraksi dengan tenang untuk mencatat kemenangan 21-9, 21-9 selama 40 minit.

Menurut Chong Wei, pemain muda itu melakukan beberapa kesilapan mudah sehingga membuka laluan kepadanya untuk memenangi pertemuan separuh akhir itu.

"Saya hanya fokus pada permainan dan tidak terlalu memikirkan mengenai strategi Chen Long hari ini (Sabtu). Saya lebih waspada dengan serangannya kerana tidak mahu dia terlalu yakin dengan pertemuan ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan petang Jumaat.

Kemenangan pada separuh akhir itu sekali lagi menemukan Chong Wei dengan pemain perseorangan utama Indonesia, Taufik Hidayat, lawannya ketika Siri Super Terbuka Hong Kong, bulan lalu.

"Selepas pertemuan bulan lalu, saya lihat kondisi Taufik semakin bagus. Namun saya tidak mahu memikirkan lawan sebaliknya mahu fokus dengan diri sendiri," ujarnya.

Jelasnya, andai beliau dipertemukan dengan Lin Dan sekalipun di separuh akhir, pemain kelahiran Pulau Pinang itu bersedia sepenuhnya untuk menyekat kemaraan jaguh China itu.

"Saya tidak kisah siapa saja lawan saya. Saya akan melakukan permainan terbaik dan sudah bersedia untuk mempertahankan kejuaraan ini," katanya.

Pertemuan terakhir mereka di Siri Super Terbuka Hong Kong 2010 menyaksikan Chong Wei mengatasi Taufik 21-19, 21-9.

Bekas juara All England 2010 itu akan berlepas ke Korea selepas tamat perlawanan separuh akhir pada Ahad untuk menghadapi Siri Super Terbuka Korea yang akan berlangsung pada 25 Januari ini.

Artikel Sebelum

Terima Kasih BAM - Hafiz

Artikel Berikut

Beregu Denmark Mara Ke Final

Artikel Lain