suria

Wang Xin Laungkan Amaran Untuk Kekalkan Kejuaraan Tahun Lepas

KUALA LUMPUR: Penyandang juara wanita Kejohanan Terbuka Malaysia, Wang Xin dari China melaungkan amaran akan menentang sesiapa sahaja bagi meneruskan kemaraan pada kejohanan itu di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini.

Pemain ranking nombor tiga dunia itu berkata beliau akan terus memberi tumpuan untuk mengekalkan gelarannya walaupun tidak menafikan peluang semakin tipis dengan kehadiran pemain handalan di peringkat seterusnya.

"Saya harap dapat melangkah ke pusingan akhir namun saya perlukan keyakinan dan persediaan yang tinggi kerana selepas ini pesaing saya semuanya adalah bukan calang-calang orang.

"Saya mahu mengekalkan kejuaraan tahun lepas di sini dan mempamerkan prestasi yang cemerlang," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas mengalahkan Bae Youn Joo 19-21, 21-7, 14-6 apabila Bae menarik diri kerana mengalami kecederaan.

Terdahulu itu, beliau berjaya mengalahkan pilihan kelima kejohanan yang juga ranking kelapan dunia, Juliane Schenk dari Jerman dengan kemenangan 21-17, 22-20 pada perlawanan suku akhir.

Dengan kemenangan itu, beliau akan berdepan pilihan ketiga, Wang Yihan yang juga rakan senegaranya pada saingan separuh akhir, Sabtu.

Wang Yihan tidak mensia-siakan peluang apabila mengalahkan pemain bukan pilihan, Lindaweni Fanetri dari Indonesia dengan 21-9, 21-19 dalam masa 43 minit.

Wang Xin, yang sebelum ini telah meranapkan impian pemain negara Wong Mew Choo, turut menolak tanggapan bahawa dia kini seakan sukar untuk memperoleh kemenangan dengan rakan senegara.

"Saya sebenarnya lebih suka bertemu pemain bukan dari China kerana adalah lebih mudah berbanding menentang rakan senegara. Ini kerana masing-masing mengetahui kelemahan.

"Bagaimanapun saya tidak akan lari. Saya tetap akan memberikan permainan yang terbaik esok," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain