suria

Langkah Zakry/Hoon Terhenti Di Suku Akhir

KUALA LUMPUR: Satu-satunya pasangan beregu negara yang tinggal, Mohd Zakry Abdul Latif/Hoon Thien How gagal meneruskan penguasaan ke separuh akhir pada Sabtu selepas tewas kepada Naoki Kawamae/Shoji Sato 21-15, 21-19 di suku akhir, semalam.

Perlawanan selama 36 minit itu menyaksikan pasangan Jepun tersebut menguasai hampir keseluruhan perlawanan dengan melakukan beberapa pukulan servis kencang.

Menurut Zakry, persembahan yang agak longgar dan tidak konsisten menjadi penyebab utama kekalahan mereka di tangn pasangan dari negara matahari terbit itu yang dilihat bermain terlalu pantas.

"Corak permainan mereka begitu pantas sehingga menyebabkan kami lebih banyak bertahan. Mereka bijak mencuri peluang menerusi kesilapan yang kami lakukan untuk mengumpul mata," katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan.

Jelasnya, Naoki/Shoji mempunyai kelebihan di bahagian taktikal lebih-lebih lagi ketika melakukan servis balas dan bijak bermain dengan angin.

Pasangan itu juga dilihat kerap memerangkap beregu negara menerusi pukulan servis kencang.

Meskipun tewas, Hoon berkata, tahap keyakinan mereka tidak pernah luntur malah mereka bersedia duduk berbincang dengan jurulatih Rexy Mainaky untuk mengenal pasti kelemahan masing-masing.

Selain itu, mereka berazam mahu meningkatkan tahap kecergasan dan ketangkasan dalam permainan sebelum menghadapi pusingan kelayakan Super Siri Terbuka Korea, 25 Januari ini.

Artikel Lain