suria

Tidak Serasi Punca Tewas

KUALA LUMPUR: Gandingan Chin Eei Hui dan Goh Liu Ying yang masih tidak serasi merupakan punca kekalahan mereka apabila corak perlawanan yang dibawa mereka berbeza antara satu sama lain.

Chin yang biasanya bergandingan dengan Wong Pei Tty berkata faktor permainan santainya menyebabkannya Goh tidak mampu mengikut rentak permainannya.

"Saya lebih menggunakan corak santai ketika menentang beregu Korea ini. Ini kerana mereka merupakan beregu wanita nombor satu Korea dan mereka memang terenal dengan perlawanan santai tetapi merbahaya.

"Namun Goh tidak biasa dengan corak permainan ini kerana dia hanya biasa bermain secara pantas. Ini memerlukan kesabaran dan konsentrasi yang tinggi," katanya kepada Bernama selepas tamat perlawanan mereka di sini, malam tadi.

Chin dan Goh terpaksa akur dengan kehebatan lawan mereka Kim Ming Jung dan Ha Jung Eun apabila tumpas straight set 19-21, 18-21 dalam masa 31 minit.

Chin berkata mereka memulakan rentak permainan dengan bagus pada mulanya namun kesilapan mudah membuatkan mereka hilang mata kepada pasangan Korea itu.

"Saya telah membuat kesilapan kecil di mana saya telah memberikan banyak mata mudah kepada lawan dalam set pertama. Kami agak tertekan dan kurang konsentrasi namun pada babak set kedua kami mula berhati-hati namun masih tidak mampu mengejar setelah ketinggalan beberapa mata sebelum tamat permainan," katanya.

Goh pula berkata pengalaman yang kurang menyebabkan dia sedikit gugup ketika perlawanan.

"Kawalan yang kurang baik menyebabkan kadang-kala pukulan saya yang tidak menjadi. Malah corak permainan saya bersama Eei Hui yang santai menyebabkan corak saya kurang menjadi," katanya.

Beliau berkata corak permainan yang dibuat oleh Chin menyebabkan dia terpaksa lebih bersabar dan berhati-hati dengan corak permainan seniornya itu.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Zakry/Thien How Lebih Yakin

Artikel Lain