Fairuz Fauzy Serta Lotus Renault GP Sebagai Pemandu Simpanan

Diterbitkan: Khamis, 20 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

OXFORDSHIRE: Lotus Renault GP (LRGP) telah menamakan rakyat Malaysia Fairuz Fauzy, 28, sebagai pemandu simpanannya bagi musim formula One (F1) tahun ini.

Ketua Pasukan Eric Boulier, ketika membuat pengumuman itu di ibu pejabat pasukan itu di Enstone di sini selasa, berkata persepakatan yang dibuat ialah kontrak bagi tempoh setahun yang boleh diperbaharui.

Katanya rancangan yang diatur ialah Fairuz akan menjadi pemandu pertama memasuki Akademi LRGP, berlumba dalam Siri GP2 dan melakukan ujian dengan program itu yang direka bentuk untuk mencungkil pemandu berbakat dan menyediakan mereka bagi perlumbaan F1.

"Kami akan memberi fokus pada kemajuan Fairuz dan menilai keupayaannyan untuk menjadi pemandu bagi kami," katanya kepada para wartawan Malaysia yang melawat kemudahan pasukan itu.

Mengulas pemilihannya itu, Fairuz berkata: "Pertama kali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada LRGP kerana memberikan saya peluang untuk menjadi pemandu simpanan mereka dan juga menjadi sebahagian daripada pasukan itu yang dikenali sebagai pasukan yang berjaya.

"Menjadi sebahagian daripada pasukan itu adalah satu penghormatan dan ini akan menaikkan kerjaya saya dan saya tidak sabar menunggu saat tersebut," katanya.

Fairuz berkata 2011 akan menjadi tahun yang menarik baginya kerana beliau akan berlumba dalam siri utama GP2 dan GP2 Asia.

"Bagi memastikan saya berlumba walau pun sebagai pemandu simpanan adalah baik bagi memastikan lajakannya berterusan," katanya, sambil berharap diterima menandatangani kontrak jangka panjang dengan pasukan itu.

Pada musim 2010, Fairuz merupakan pemandu ketiga bagi Lotus Racing milik Datuk Seri Tony Fernandes (kini dikenali sebagai Team Lotus). - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan