Zulfahmi Bakal Beraksi Bersama Pasukan Juara Dunia

Diterbitkan: Rabu, 19 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Pelumba tunggal MotoGP 125cc negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin mendapat suntikan baru apabila bakal beraksi dengan pasukan yang lebih berpengalaman menjelang perlumbaan musim 2011 yang akan memulakan pusingan pertama pada 1 Mac, di Litar Losail, Qatar.

Dengan mempamerkan aksi memberangsangkan pada penampilan sulungnya tahun lalu bersama pasukan AirAsia-Sepang International Circuit (AASIC), Zulfahmi kini lebih mempunyai keyakinan untuk bangkit membaiki kedudukannya yang kini berada di tempat ke-24 keseluruhan.

Zulfahmi bakal memulakan cabaran bersama pasukan dari Finland, Ajo Motorsports yang telah melahirkan juara dunia tahun lalu, Marc Marques.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali berkata, pihaknya gembira dan teruja dengan kerjasama daripada pasukan yang telah melahirkan jaguh dunia dan peluang ini diharap akan digunakan oleh Zulfahmi sebaik-baiknya.

“Bukan senang untuk melahirkan juara dunia. Ia memerlukan masa yang agak lama untuk berada di kedudukan terbaik. Kami tidak meletakkan apa-apa sasaran kepadanya dan menganggap peluang bersama Ajo Motosports ini adalah satu langkah untuk dia mempelajari sesuatu yang baru daripada pasukan berpengalaman.

“Saya yakin pasukan AASIC-Ajo Motorsports akan memberi kelebihan kepada Zulfahmi untuk mencapai keputusan yang lebih baik musim ini,” katanya selepas majlis pengumuman pasukan AirAsia-SIC-Ajo Racing, Rabu.

Sementara itu, Zulfahmi berkata, perlumbaan musim lepas agak sukar kerana baru pertama kali berlumba dengan pelumba-pelumba handalan dunia.

“Tahun lalu saya berjaya mengutip empat pada dalam empat perlumbaan walaupun pada masa itu tiada sasaran untuk mengutip sebarang mata. Ini membuktikan saya mampu bersaing dengan pasukan lain dan saya berharap tahun ini saya turut akan mengutip mata dalam setiap perlumbaan.

“Saya juga berterima kasih kepada Air Asia-SIC yang telah banyak memberi peluang dan membantu saya sebelum ini. Selain itu juga kemunculan saya dengan pasukan juara dunia ini memberi kelebihan bagi saya untuk mempelajari sesuatu sekali gus membantu meningkatkan tahap perlumbaan saya,” katanya kepada mStar Online.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan