suria

LTDL 2011 Ditunggu Masyarakat Langkawi

LANGKAWI: Ibarat 'sirih pulang ke ganggang', Le Tour de Langkawi (LTdL) kembali ke pulau peranginan ini selepas lapan tahun Langkawi terpinggir daripada laluan kejohanan lumba basikal terbesar Asia itu.

Bermaksud 'Melancong ke Langkawi' dalam bahasa Perancis, Le Tour de Langkawi edisi kali ini ditunggu-tunggu penduduk yang merindui kelibat kejohanan yang bermula di pulau ini pada 1996.

Lebih dikenali sebagai venue kejohanan kapal layar dengan yang terbaru Kejohanan Layar Optimist Dinghy Association (IODA) Dunia yang berakhir minggu lepas, kembalinya LTdL diharap dapat membantu usaha mempromosi Langkawi sebagai destinasi sukan antarabangsa.

Meluahkan haarapan itu kepada Bernama di sini, Anggota Parlimen Langkawi Datuk Abu Bakar Taib juga berkata selama lapan tahun penduduk setia menanti kehadiran semula LTdL di pulau peranginan tersebut.

"Pastinya sambutan meriah akan diberi kepada pelumba sepanjang perlumbaan di sini," katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Rekreasi Langkawi (Kerel) Datuk Mansor Ismail berkata beliau yakin kehadiran semula LTdL di sini akan meningkatkan aktiviti sukan pelancongan

"Ramai pelancong akan berkunjung ke Langkawi semasa berlangsung LTdL 2011," katanya.

Keyakinan beliau dikongsi Pengurus Perhubungan Awam Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) Ramizi Hassan yang berkata LTdL akan membuka mata dunia kepada daya tarikan Langkawi.

Sempena LTdL itu juga Majlis Sukan Negeri Kedah akan mengadakan program 'Yellow Ride' iaitu aktiviti berbasikal.

Pengarahnya Syed Khairol Anuar Syed Abidin berkata program dibahagikan kepada tiga kategori iaitu kayuhan basikal untuk orang kenamaan dan penduduk, kayuhan santai serta kayuhan gerek untuk mendaki Gunung Raya.

LTdL 2011 yang menawarkan hadiah keseluruhan hampir RM1 juta membuka tirai di Langkawi pada Ahad ini dengan kayuhan sejauh 94 kilometer mengelilingi pulau peranginan itu.

Kejohanan itu kembali ke Langkawi selepas penganjur mengambil kira pandangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi pencetus kepada kejohanan tersebut.

Negarawan ulung itu pernah menyuarakan kesedihannya apabila melihat Langkawi terpinggir daripada laluan kejohanan sedangkan matlamat awal penganjuran adalah untuk mempromosikan pulau tersebut.

Kali terakhir Langkawi berada dalam senarai laluan LTdL ialah pada 2003. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain