suria

Terbuka Malaysia 2011 Dijangka Dapat Sambutan Luar Biasa

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjangkakan kehadiran seramai 8,000 hingga 9,000 penonton pada kejohanan Super Siri Terbuka Malaysia Proton 2011 berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Menurut Pengurus Bahagian Kewangan dan Promosi BAM, K. Manoharan, hampir 60 peratus tiket terutamanya untuk tempat duduk utama sudah dijual setakat ini.

"Sambutan tiket kali ini agak menggalakkan kerana China menghantar barisan pemain terkuat termasuk Lin Dan. Saya rasa edisi kali ini akan menarik kehadiran lebih ramai penonton terutamanya di pusingan separuh akhir," katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Putra Bukit Jalil di sini, Selasa.

Sudah tentunya, penjualan tiket akan mendapat sambutan lebih baik sekiranya jaguh badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei berjaya melepasi halangan awal dengan cemerlang di mana beliau dijangka bertemu Lin Dan dari China pada pusingan separuh akhir.

Manoharan berkata, bagi memudahkan peminat tempatan mendapatkan tiket, kaunter-kaunter penjualan tiket di Stadium Putra, Bukit Jalil sudahpun beroperasi sejak Isnin.

"Orang ramai masih boleh mendapatkan tiket masing-masing di kaunter penjualan tiket di sini bermula jam 8 pagi hingga 8 malam. Seperti sebelum ini, tiket perlawanan sudahpun dijual menerusi internet pada peringkat awal penjualannya," jelasnya.

Sejak kaunter tiket dibuka semalam, penjualan tiket begitu menggalakkan dan meskipun perlawanan kelayakan bermula hari ini, kelibat orang ramai sudah kelihatan mengisi ruang tempat duduk di sini.

Kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai AS$400,000 (RM1.2 juta) itu membuka tirainya pada Selasa dan berakhir Ahad ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain