suria

Pesta Sukan Media-MSN Sekali Lagi Dianjurkan Pada Disember Depan

KUALA LUMPUR: Pesta Sukan Media-MSN akan diadakan sekali lagi pada akhir tahun ini bagi menggantikan edisi 2010 yang tidak dapat diadakan berikutan kesibukan Majlis Sukan Negara (MSN) mempersiapkan atlet ke temasya sukan antarabangsa utama.

Ketua Pengarah MSN Datuk Zolkples Embong berkata edisi 2010 sepatutnya diadakan pada November tahun lepas tetapi kesibukan menghadapi temasya Sukan Asia di Gungzhou, China (Oktober) dan Sukan Komanwel di India (November) menyebabkan ia tidak dapat diadakan.

Bercakap kepada pemberita selepas tamat Pesta Sukan Media-MSN 2011 di sini hari ini, Zolkples berkata secara amnya beliau berpuas hati dengan sambutan yang telah diberikan oleh pihak media dalam menyertai pesta sukan itu kali ini.

"Matlamat utama sukan tersebut adalah bagi merapatkan hubungan antara pihak pentadbir sukan (MSN) dengan media," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Isa menyifatkan bahawa acara tahunan tersebut berjaya mencapai matlamat apabila 17 organisasi media terlibat kali ini.

"Dengan adanya pesta ini, kerjasama di antara MSN dengan pengamal media dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa," katanya.

Hari ini acara bola sepak lima sebelah berlangsung di padang astrotuf di MSN, Bukit Jalil.

Pasukan Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) muncul sebagai johan sementara tempat kedua dan ketiga masing-masing menjadi milik TV3 dan Berita Harian NST.

Organisasi media yang terlibat ialah agensi berita Bernama, Harian Metro, Malay Mail, Berita Harian, The New Straits Times (NST), TV3, Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Astro Awani, Kosmo, The Star, Utusan Melayu dan Sinar Harian.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain