suria

KBS Guna Akta Pembangunan Sukan Jika Persatuan Gagal Selesai Kemelut

BUTTERWORTH: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengunakan Akta Pembangunan Sukan kepada mana-mana persatuan yang gagal menyelesaikan kemelut yang berlaku dalam persatuan mereka.

Timbalan Menterinya Datuk Razali Ibrahim berkata penggunaan akta berkenaan dijangka mampu melancarkan pengurusan persatuan sukan negara yang mengalami masalah.

"Kita harap mana-mana persatuan yang menghadapi masalah dapat selesaikan secara baik, bagaimanapun jika mereka gagal KBS akan menggunakan akta berkenaan supaya ia (kemelut) tidak menjejaskan pembangunan sukan negara.

"Melalui akta itu juga, prinsip demokrasi dalam kegiatan sukan mampu dipertahankan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Yellow Ride sempena Le Tour De Langkawi, Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan yang akan diambil KBS berhubung beberapa persatuan sukan antaranya Persatuan Badminton Malaysia, Persatuan Sepak Takraw Malaysia dan Persatuan Karate yang menghadapi kemelut sekarang ini.

Akta Pembangunan Sukan yang diluluskan pada tahun 1997 itu antara lain menghadkan tempoh kepimpinan persatuan supaya pemimpin-pemimpin bermasalah tidak dibenarkan terus memimpin persatuan mereka.

Razali berkata komunikasi yang baik antara satu sama lain juga penting bagi melancarkan perjalanan persatuan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain