suria

Safee Sali Mungkin Dinilai Di Persib Bandung

JAKARTA: Tertakluk kepada hasil perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), bintang bola sepak Malaysia Mohd Safee Mohd Sali berkemungkinan akan dinilai oleh Persatuan Sepakbola Bandung (Persib) pada sesi 'bursa transfer' (sesi jual beli) pada Februari depan. Kemungkinan ini dibayangkan pegawai media Persib, Irfan Suryadireja ketika dihubungi Bernama.

"Pembicaraan untuk itu (membeli Safee) sudah, tetapi belum jauh (belum tercapai kesepakatan) seperti yang akhir-akhir ini diperbincangkan banyak pihak," katanya.

Sungguhpun belum mendapat kepastian mengenai perbincangan dengan FAS, pasukan Mohd Safee pada masa ini, beliau yakin Persib tidak akan berdepan banyak masalah untuk bekerjasama dengan Selangor kerana hubungan baik yang wujud antara kedua-dua kelab itu setelah mereka saling melakukan kunjungan pada tahun lalu.

Mohd Safee pada masa ini masih terikat kontrak dengan FAS sehingga bulan November tahun ini.

Irfan berkata pada sesi Februari nanti, Persib akan melakukan penilaian terhadap keperluan pasukan itu.

Persib pada masa ini telah mempunyai lima pemain penyerang yang berada dalam keadaan fit.

Mereka ialah dua pemain asing Hilton Moreira (Brazil) dan Pablo Frances (Argentina) serta tiga pemain tempatan iaitu Airlangga Sucipto, Rahmad Afandi dan bintang Indonesia pada pertandingan Piala AFF lalu, Cristian Gonzales.

Kedatangan Mohd Safee ke dalam pasukan itu akan memperketat saingan bagi posisi penyerang dalam setiap perlawanan yang disertai Persib.

Irfan berkata bersetuju bahawa duet Mohd Safee-Gonzales akan menjadi gandingan menarik bagi Persib dan penyokong fanatik kelab itu "Viking" memang sangat ingin melihat pemain terbaik Malaysia 2010 itu segera bergabung.

Mereka tidak terpengaruh urusan politik, malah terpesona dengan penampilan hebat Mohd Safee pada pertandingan Piala AFF yang lalu, katanya.

"Kelab manapun (di Indonesia) pasti akan tertarik dengan Mohd Safee. Tetapi kami akan memberi tumpuan dahulu dengan pusingan pertama ini," katanya.

Persib, yang dikenali dengan jolokan 'Maung Bandung' merupakan pasukan yang selalu bertabur bintang setiap musimnya, tetapi pada musim ini, pasukan asuhan Daniel Rukito itu terperosok di kedudukan 14 daripada 15 kelab yang bertanding di Indonesia Super League (ISL).

Mohd Safee sebelum ini telah menyatakan bahawa beliau menerima tawaran daripada tiga kelab di Indonesia iaitu Persib Bandung, Persib Balik Papan dan Pelita Jaya.

Namun, beliau lebih cenderung untuk menyertai Persib Bandung kerana lebih dekat dengan tanah air selain sudah biasa dengan persekitaran di bandar itu.

Mohd Safee berharap perbincangan yang dijalankan dapat memuaskan hati semua pihak dan FAS tidak keberatan melepaskannya beraksi di Indonesia dan jika tidak dapat berhijrah tahun ini, harapannya ialah mendapat peluang tahun depan.

Pada Isnin lalu, Setiausaha Agung FAS Datuk Hamidin Mohd Amin berkata masa depan Mohd Safee akan bergantung kepada hasil perundingan yang akan diadakan dengan wakil-wakil ketiga-tiga kelab Indonesia itu.

FAS juga mendapat tawaran pembelian Mohd Safee daripada sebuah kelab dari Vietnam.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain