suria

Indonesia Bimbang Tiga Negara Termasuk M'sia Boleh Gagal Hasrat Jadi Jaguh Sukan SEA 2011

KUALA LUMPUR: Indonesia berwaspada dengan kemampuan Malaysia, Thailand dan Vietnam untuk menghancurkan hasrat negara tuan rumah itu itu untuk muncul juara keseluruhan Sukan SEA ke-26 pada tahun ini.

Menurut laporan akhbar 'Jakarta Post', pegawai sukan Indonesia sangsi dengan peluang negara itu mencapai impian tersebut kerana mereka belum memulakan program latihan kebangsaan.

Sukan dwitahunan itu akan berlangsung dari 11 hingga 20 Nov ini di Jakarta dan Palembang.

Setiausaha Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Indonesia (INASOC), Abdul Rauf, berkata negara itu perlu memang 170 pingat emas memandangkan pencabar terdekat, Thailand, mungkin merangkul kira-kira 150 butir emas.

"Kita perlu sentiasa sedar lawan kita tidak lembap dalam melatih atlet masing-masing. Selain Thailand, kita juga ada Vietnam dan kemungkinan negara kuasa baru iaitu Malaysia," Abdul Rauf dipetik sebagai berkata dalam laporan itu.

Akhbar itu bekata kerajaan Indonesia telah memperuntukkan Rp400 bilion (RM134.56 juta) untuk program pembangunan atlet untuk 2011 manakala INASOC belum mengumumkan bajet keseluruhan penganjuran temasya sukan itu.

Indonesia kali terakhir muncul juara keseluruhan Sukan SEA dengan mengumpul 194 pingat emas apabila negara itu menjadi tuan rumah pada 1997 di Jakarta.

Pada edisi lepas di Laos, dua tahun lepas, Thailand muncul juara keseluruhan dengan mengumpul 86 emas diikuti Vietnam (83), Indonesia (43) dan Malaysia dengan 40 emas.

Presiden Majlis Sukan Negara Indonesia (KONI), Rita Subowo, dijadual mengumumkan jumlah rasmi acara sukan yang dipertandingkan pada Sukan SEA November ini, Rabu depan.

Edisi sukan itu dijangka menampilkan 43 jenis sukan dengan kemungkinan 577 acara, menjadikan temasya sukan paling besar di rantau Asia Tenggara sejak dekad lepas.

INASOC telah mensasarkan 170 pingat emas iaitu sasaran yang lebih tinggi berbanding 145 emas yang disasarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Sebelum ini, ketua Program Emas Indonesia (PRIMA) iaitu program latihan kebangsaan, Tono Suratman, pesimis dengan sasaran 145 pingat emas.

Satu mesyuarat dengan 42 persatuan sukan di negara itu mendapati setiap persatuan mensasarkan purata tiga emas dan ini bermakna kontinjen negara itu hanya mampu meraih kira-kira 126 pingat emas.

"Dengan anggaran itu, adalah sukar untuk mencapai sasaran kami," kata Tono.

Dalam pada itu, seorang pegawai kementerian, Pjoko Irianto berkata sekiranya Indonesia menampilkan banyak acara yang mereka tidak kuat maka tuan rumah hanya melepaskan butir emas kepada pihak lawan.

Menurutnya negara itu telah mengurangkan bilangan acara yang dicadangkan kepada 504 daripada 577 yang meliputi 43 jenis sukan.

"Indonesia perlu menang sekurang-kurangnya 196 emas dalam 577 acara supaya memperoleh 34 peratus jumlah emas yang ditawarkan atau 171 butir emas dalam 504 acara," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain