suria

FIGOS Sumbang Tajaan Bernilai RM50,000

KUALA LUMPUR: Perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 terus mendapat perhatian pihak penaja selepas FIGOS, jenama pakaian sukan futsal terkenal tanah air meneruskan kerjasama erat untuk tahun kedua berturut-turut dengan menyumbangkan kelengkapan pakaian sukan bernilai RM50,000.

Pengarah Operasi FIGOS, Tang Kok Wai berkata, pihaknya bersetuju untuk terus bekerjasama dengan penganjur LTdL 2011 memandangkan dalam masa sama ia turut membantu pihaknya mempromosikan pakaian sukan yang sebelum ini lebih di kenali dalam sukan futsal.

“Tajaan bernilai RM50,000 tahun ini berupa pakaian serta kasut sukan. Jumlah tajaan ini meningkat sepuluh peratus berbanding tahun lalu dan ia bakal digunakan bagi kegunaan pihak penganjur serta pasukan cavalcade. Penajaan ini sekali gus membuktikan sokongan kami kepada LTdL dan berharap kami akan terus bekerjasama di masa depan,” katanya pada majlis penyerahan tajaan, Jumaat.

Sementara itu, Ketua Pagawai Eksekutif (CEO) LTdL, Mohamed Salleh berterima kasih kepada pihak penaja yang telah tampil memberi sokongan dengan memberi tajaan berupa wang ringgit atau barangan.

“Saya gembira kerana setakat ini kami telah menerima lebih kurang RM6 juta tajaan berupa wang tunai dan pelbagai barangan. Selain itu, tajaan FIGOS ini juga amat dihargai dan ini merupakan kali kedua kami bekerjasama.

“Saya berharap selepas ini lebih ramai pihak penaja di luar sana turut tampil memberi apa jua sumbangan bagi memeriahkan lagi perlumbaan edisi ke-16 tahun ini,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain