suria

Pasukan Bertanding LTDL Akan Tiba Di Langkawi Mulai Selasa

KUALA LUMPUR: Pasukan-pasukan yang mengambil bahagian dalam edisi ke-16 perlumbaan jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) akan mula tiba di Pulau Langkawi Selasa ini.

Pengarah operasi LTdL 2011 Emir Abdul Jalal berkata semua pasukan yang bertanding, kecuali pasukan Aisan Cycling Team, akan tiba secara berperingkat mulai Selasa ini.

"Bagi pasukan Aisan, mereka datang lebih awal dengan perbelanjaan sendiri ke Pulau Langkawi untuk menjalani latihan bagi menyesuaikan diri," katanya pada satu persidangan akhbar selepas majlis menerima tajaan daripada Figos Sdn Bhd di Ibu pejabat LTdL 2011, Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, Jumaat.

Beliau berkata pasukan benua dari Jepun itu tiba di Pulau Langkawi sejak Selasa lepas.

"Sudah semestinya pasukan itu mahu mencipta kejayaan yang lebih besar pada edisi kali ini selepas kejayaan salah seorang pelumbanya menjuarai perlumbaan peringkat ke-empat (Mersing-Parit Sulong) pada LTdL tahun lepas," katanya.

Terdahulu pada majlis itu ketua pegawai eksekutif LTdL Mohamed Salleh menerima tajaan berjumlah RM50,000 daripada pengarah operasi Figos, Tang Kok Wai.

Figos akan menaja pakaian dan kasut sukan untuk kegunaan sekretariat LTdL 2011 dan turut mengambil bahagian dalam rombongan calvacade dengan mempromosikan barangan sukan keluaran mereka.

Selepas empat tahun menyepi daripada siri jelajah terbesar Asia, perlumbaan LTdL kembali membuka tirai di "Pulau Lagenda" apabila berada dalam senarai laluan perlumbaan berstatus Hors yang akan membuka tirainya dari 23 Januari hingga 1 Feb depan.

Pulau Langkawi kembali dalam kalendar perlumbaan LTdL tahun ini selepas mengambil pandangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengembalikan nostalgia perlumbaan ke pulau itu.

Selain Pulau Langkawi yang menjadi daya tarikan utama LTdL 2011, cabaran dua pendakian berturut-turut iaitu ke Cameron Highlands dan Genting Highlands bakal menjadikan saingan LTdL 2011 lebih mencabar dan sengit.

Edisi ke-16 LTdL yang melibatkan 10 peringkat perlumbaan dengan jarak kayuhan sejauh 1,315.4 km itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM1 juta. - BERNAMA

Artikel Lain