suria

SAM Sasar RM100,000 Dalam Tabung Akujanji Ganjaran Piala AFF Suzuki

KUALA LUMPUR: Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) mensasarkan dapat mengumpul RM100,000 dalam Tabung Akujanji Ganjaran Piala AFF Suzuki menjelang Februari ini.

Presidennya Ahmad Khawari Isa berkata sehingga kini sebanyak RM93,000 telah dikumpul untuk tabung yang bertujuan mengumpul sumbangan kepada skuad bola sepak kebangsaan memenangi Piala AFF tahun lepas.

Tabung yang dikendalikan SAM itu dimulakan 20 Disember lepas.

"Walaupun jumlah yang meningkat tidak banyak seperti awal pelancaran yang berjaya mengutip RM88,200, ia diharap dapat mencapai sasaran RM100,000 dalam dua minggu ke depan ini.

"Kami hanya menerima ikrar sumbangan daripada syarikat-syarikat kecil dan orang perseorangan tetapi masih kurang pembabitan sektor korporat untuk turut sama memberikan pengiktirafan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Khamis.

Tugas mengendalikan Tabung Akujanji Ganjaran Piala AFF Suzuki diserah kepada SAM oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan insentif RM65,000 dari kerajaan dan KBS untuk setiap pemain dan jurulatih.

Ahmad Khawari mengharapkan lebih banyak sektor korporat, baik sektor swasta, syarikat persendirian mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menghulurkan sumbangan ganjaran sebagai menghargai sejarah yang ditempa pemain-pemain ini.

Beliau berkata SAM akan memanjangkan tempoh mengumpul sumbangan Ganjaran Piala AFF Suzuki sehingga awal Februari bagi mendapatkan lebih banyak pembabitan daripada sektor korporat dan sumbangan akan diberikan pada Majlis Penganugerahan SAM.

Ahmad Khawari berkata sehingga kini, SAM berjaya mendapatkan akujanji daripada enam syarikat iaitu Double XL Services Sdn Bhd, WSL (MSC) Sdn Bhd, Aiman Motor Sdn Bhd, AR Factor Resources Sdn Bhd, SPA Integrated Sdn Bhd dan Kelab Futsal Arena.

Beliau berkata badan korporat dan orang perseorangan yang berminat untuk memberikan sumbangan boleh menghubungi pejabat Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) di talian 03-20780985 atau faks di 03-20706294 pada setiap Isnin, Rabu dan Khamis.

Sumbangan boleh juga dibuat dengan berhubung terus dengan Setiausaha Agung SAM Faisal Jamal di talian 014-2366200.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain