suria

RM65,000 Untuk Setiap Pemain Piala Suzuki AFF

PUTRAJAYA: Pasukan bola sepak kebangsaan yang muncul juara pada kejohanan Piala Suzuki Asia Tenggara (AFF) hujung tahun lalu telah mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Malaysia apabila menerima habuan lumayan bernilai RM65,000 setiap seorang.

Berita gembira ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis ramah mesra meraikan Juara Piala Suzuki AFF di Kompleks Seri Perdana, Rabu.

Najib berkata, pasukan bola sepak negara telah melahirkan satu fenomena baru dalam sukan bola sepak negara dan tutut memberi situasi luar biasa di Stadium Nasional Bukit Jalil pada saingan akhir pertama sebelum ini.

"Ia bukan boleh dicipta dan ia sungguh luar biasa. Keadaan itu telah membuatkan saya seperti ingin mengalirkan air mata dan satu kebanggaan kepada kita semua. Kejayaan ini dicapai kerana pemain-pemain kita ada semangat juang yang tinggi.

"Selain kemahiran permainan dan tahap kecergasan setiap pemain, kita juga perlu berbangga kerana pasukan bola sepak kita mempunyai kekuatan mental yang sangat tinggi. Inilah yang menjadi salah satu faktor kita mampu menjulang juara pada Piala Suzuki ini," katanya.

Katanya, pihaknya amat berbangga dengan kejayaan ini dan bersetuju memberi insentif kepada 25 orang pemain serta jurulatih yang terlibat.

"Kerajaan bersetuju memberi anugerah khas Amanah Wawasan 2020 bernilai RM50,000 kepada setiap pemain dan jurulatih. Ini adalah untuk masa depan dan dalam jangka masa 10 tahun wang ini tidak boleh dikeluarkan.

"Pemain-pemain juga bakal mendapat imbuhan daripada kerajaan Malaysia bernilai RM10,000 setiap orang dan RM5,000 melalui Skim Kemenangan sukan (shakam) daripada Majlis Sukan Negara (MSN)," katanya.

Selain itu Najib turut berkata, sebagai sokongan kerajaan juga akan memberi tajaan kepada pasukan atau pemain yang akan berlatih atau bermain di kelab luar negara berdasarkan kelulusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Tahniah kepada FAM yang telah berjaya mencungkil ramai pemain yang berbakat sekali gus diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan. Ini juga adalah kerjasama dengan semua pihak.

"Dengan itu juga, sebanyak RM500,000 akan di peruntukkan kepada FAM melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi melengkapkan kemudahan gimnasium, bilik sauna serta turut menyediakan seorang jurulatih kecergasan di Wisma FAM," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih negara, K.Rajagobal berkata, penghargaan ini amat bermakna kepada pasukan dan dia berharap semua pemain tetap kekal prestasi.

"Saya sangat teruja dan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas penghargaan ini. Ia merupakan inspirasi kepada semua pemain dan saya harap mereka lebih bersemangat selepas ini dan saya yakin mereka akan pergi lebih jauh kerana ini adalah permulaan bagi pasukan bola sepak Malaysia," katanya kepada pemberita.

Pasukan Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF buat julung kalinya dengan menumpaskan Indonesia dengan agregat 4-2 setelah menang 3-0 di sini dan kalah 2-1 di Jakarta.

Artikel Berikut

Artikel Lain