suria

14 Pasukan Bermain Sebelah Petang Pada Perlawanan Permulaan Liga Malaysia

PETALING JAYA: Sebanyak 14 pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia musim ini akan mengadakan perlawanan Liga Malaysia pada sebelah petang berikutan kegagalan pihak stadium memenuhi piawaian padang dan lampu limpah yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pihak pengurusan stadium pasukan tuan rumah diberi tempoh sehingga Jumaat ini untuk memenuhi piawaian padang dan tahap pencahayaan lampu limpah sekiranya mahu perlawanan diadakan pada waktu malam.

Pertandingan Liga Super musim ini akan bermula 29 Januari ini manakala Liga Perdana dua hari kemudian (31 Januari).

Pasukan yang tidak dapat beraksi pada sebelah malam ialah tujuh dari Liga Super iaitu Kelantan, Terengganu, T-Team, Johor FC, Perak, Harimau Muda A dan Sabah.

Manakala tujuh pasukan Liga Perdana ialah Sime Darby, ATM, sarawak, Pos Malaysia, Johor FC, Harimau Muda B dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Hamidin, yang juga timbalan presiden FAM, berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa tersebut di Wisma FAM, Kelana Jaya, dekat sini, Rabu.

Menurutnya jawatankuasa berkenaan telah melakukan pemeriksaan ke atas semua venue perlawanan pada 20 Disember lepas dan 7 Januari lepas dan mendapati tujuh buah stadium gagal memenuhi sama ada tahap pencahayaan lampu limpah minimum 800 Lux atau kesesuaian padang.

Stadium berkenaan ialah Stadium Sultan Muhammad IV (Kota Baharu), Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (Kuala Terengganu), Stadium JCorp (Pasir Gudang), Stadium Perak (Ipoh), Stadium MBPJ (Kelana Jaya), Stadium LIkas (Kota Kinabalu) dan Stadium Larkin, Johor.

Beliau berkata pasukan terbabit boleh memilih stadium terdekat jika mereka ingin membuat pemilihan tempat perlawanan.

"Saya dimaklumkan bahawa pihak pengurusan stadium telah melakukan kerja penyelenggaraan bagi mengatasi masalah tersebut dan selepas siap nanti mereka perlu memaklumkan perkara tersebut kepada pihak FAM," katanya.

Katanya pasukan Pulau Pinang, yang tidak mempunyai masalah padang atau lampu limpah di stadium, telah memohon supaya mengadakan perlawanan pada sebelah petang.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain