suria

Ronaldinho Sarung Jersi Flamengo

BEKAS Pemain Terbaik Dunia, Ronaldinho (gambar) menandatangani kontrak selama empat tahun bersama Flamengo.

"Ronaldo de Assis Moreira atau lebih dikenali sebagai Ronaldinho Gaucho akan menyarung jersi Flamengo," menurut kenyataan dalam laman web kelab itu.

Minggu lalu, Ronaldinho diberi kebenaran oleh AC Milan untuk menyelesaikan perpindahannya ke Brazil selepas gagal mendapat tempat dalam pasukan Serie A itu.

Naib Presiden AC Milan, Adriano Galliani berkata pada Sabtu bahawa kedua-dua kelab telah mencapai persetujuan bersama berhubung isu perpindahan bekas pemain Barcelona itu.

Pemain berusia 30 tahun itu yang turut mendapat tawaran dari Gremio disisihkan dari skuad Brazil pada kempen Piala Dunia tahun lalu tetapi masih menaruh harapan untuk memperkuat pasukan samba itu pada 2014.

"Saya boleh membayangkan penyokong memenuhi ruang stadium. Mereka mahukan yang terbaik dari saya. Saya kembali ke Brazil untuk beraksi bersama Flamego bagi membalas sokongan peminat.

"Saya juga berharap agar persembahan saya boleh memberi peluang kedua untuk memperkuat Brazil," kata Ronaldinho.

Flamengo merupakan kelab terkenal di Brazil dengan mempunyai 25 juta penyokong.

Ronaldinho berada di puncak kariernya selepas membantu Brazil memenangi Piala Dunia 2002.

Artikel Lain