suria

BAM Mahu Misbun Pertimbang Keputusan

KUALA LUMPUR: Pintu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih terbuka untuk Datuk Misbun Sidek apabila presiden badan induk itu, Datuk Seri Nadzmi Mohd Salleh mahu beliau mempertimbangkan semula keputusan peletakan jawatannya selaku jurulatih perseorangan negara.

Keputusan itu diumumkan Datuk Nadzmi pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco BAM di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini petang, Rabu.

"Kami memutuskan supaya Misbun mempertimbangkan semula keputusannya demi kepentingan negara agar program 'Road to London 2012' tidak terjejas.

"Datuk Misbun adalah jurulatih kepada Chong Wei. Oleh itu, kami tidak mahu apa saja mengganggu persediaan dan latihannya untuk Olimpik, London," katanya.

Menurut Nadzmi, beliau akan menjelaskan kepada Misbun sebab beberapa perubahan harus dilakukan dalam struktur latihan baru BAM dan berharap Misbun akan mengubah persepsinya berhubung perubahan itu.

"Beberapa perubahan diputuskan majlis BAM selepas post-mortem Piala Thomas tahun lalu. Kami berharap jika penjelasan diberikan, mungkin persepsinya akan berubah. Kami akan cuba menjelaskan perkara itu dengan baik kepadanya," jelasnya.

Katanya, jika ada isu yang tidak menggembirakan Misbun dan mendorongnya meletak jawatan, beliau boleh berbincang secara terbuka dengan BAM berhubung perkara itu.

Ketika ditanya sama ada struktur kejurulatihan sedia ada akan dirombak semula selepas isu peletakan jawatan Misbun, Nazdmi memberitahu beliau tidak akan mengubah struktur itu sewenang-wenangnya memandangkan ia perlu mendapat kelulusan daripada majlis BAM.

Nadzmi berkata, perubahan dalam struktur latihan perlu dilakukan untuk pembangunan badminton jangka masa panjang bagi melahirkan lebih ramai pemain seperti Chong Wei.

"Saya tidak menerima sebarang maklum balas negatif daripada mana-mana individu sama ada dari pemain atau jurulatih sendiri yang tidak bersetuju dengan perubahan ini. Bahkan majoriti exco latihan dan kejurulatihan, pemain dan jurulatih menerimanya," ujarnya.

Nadzmi enggan menetapkan jangka masa kepada Misbun untuk memberikan keputusan, sebaliknya berharap agar kemelut itu diselesaikan secepat mungkin sebelum kejohanan Terbuka Malaysia membuka tirainya minggu depan.

"Jangka masa adalah perkara kedua. Apa yang penting adalah kami menerima keputusan baik daripada beliau kelak," katanya. Misbun mengejutkan ramai pihak apabila menghantar peletakan jawatan kepada Pengurus Besar BAM, Kenny Goh pada 31 Disember lalu yang juga tarikh tamat kontraknya dengan BAM.

Artikel Lain