suria

Tiga Pemain Bola Sepak Kedah Antara Penerima Pampasan Perkeso

ALOR SETAR: Tiga pemain bola sepak Kedah termasuk seorang yang beraksi dalam skuad kebangsaan pada Piala AFF Suzuki baru-baru ini, menerima pampasan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berikutan kecederaan yang dialami semasa latihan dan perlawanan bola sepak.

Penyerang pasukan Kenari yang mewakili negara pada Piala AFF Suzuki 2010, Mohd Khyril Muhymeen Zamri, 24, menerima pampasan terbanyak faedah hilang upaya kekal iaitu lebih RM30,000 kerana mengalami kecederaan pada lutut.

Mohd Khyril Muhymeen berkata beliau mengalami kecederaan pada lutut kanan itu semasa perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Kenya pada September 2009.

"Selepas mengalami kecederaan itu saya tidak boleh turun padang selama tujuh bulan dan saya menjalani latihan semula pada bulan Jun tahun lepas selepas skuad kebangsaan memanggil untuk latihan," katanya di sini.

Beliau yang ditemui pemberita selepas penyerahan bantuan dan faedah Perkeso itu juga berkata tidak menduga menerima wang sebanyak itu kerana ada pemain lain yang tidak menerima pampasan sedemikian.

"Mungkin kecederaan mereka tidak serius. Saya bersyukur dengan pemberian ini dan akan menyimpan duit itu untuk masa hadapan," katanya.

Dua lagi pemain Kedah yang diberi pampasan tersebut ialah Mohd Fazliata Taib yang menerima faedah hilang upaya sementara sebanyak RM2,200 dan V. Thirumurugan yang menerima RM1,022.

Penyampaian faedah dan pampasan disampaikan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan.

Pada majlis itu Perkeso turut menyampaikan faedah dan pampasan kepada 26 penerima lain serta bantuan banjir sebanyak RM1,000 serta barangan dapur kepada 11 warga organisasi itu yang terlibat dengan bencana banjir baru-baru ini.

Sepanjang tahun 2009, Perkeso Kedah membayar RM18.7 juta kepada pencarumnya, manakala tahun lepas sehingga November sejumlah RM16.1 juta dikeluarkan.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Trofi Ballon D'Or Milik Messi

Artikel Berikut

Artikel Lain